KUCHING: Rakyat Sarawak diajak untuk bersama-sama menyambut ulang tahun ke-60 kemerdekaan negeri ini atau Jubli Intan pada 22 Julai kelak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sambutan hari bersejarah itu juga akan diraikan dengan tema Sarawak Maju Makmur.
“Kita melangkah jauh sejak 1963 apabila dapat mencapai kemerdekaan.
Sepanjang enam dekad yang lalu, kita menyaksikan kemajuan dan pembangunan yang luar biasa di negeri ini.
“Kemakmuran ekonomi yang kita kecapi hari ini juga tidak datang dengan mudah.
“Justeru, marilah kita meraikan majlis ini untuk mengiktiraf kerja keras, ketekunan dan ketabahan pemimpin dahulu serta sekarang yang telah menyatupadukan rakyat sekali gus menumpukan usaha pembangunan Sarawak bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.
Abang Johari juga menegaskan Sarawak perlu terus kekal komited untuk membina masa hadapan yang mampan bagi negeri ini dan akan mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan penjagaan alam sekitar serta keterangkuman sosial.
“Kita juga perlu memastikan bahawa kemajuan dapat memberi manfaat kepada semua rakyat Sarawak.
“Selain itu, kita juga perlu mengekalkan perpaduan yang erat, bekerjasama dan berusaha gigih demi mencapai aspirasi ekonomi maju menjelang tahun 2030 agar kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang terjamin,” jelasnya.





