KUCHING: Kegiatan licik sindiket pembalakan haram yang dipercayai beroperasi di kawasan hutan Jalan Selangau, Sibu akhirnya tumpas selepas lokasi persembunyian mereka diserbu pasukan polis dalam Op Taring Libas, semalam.
Komander PGA Briged Sarawak, SAC Dr. Che Ghazali Che Awang, berkata dalam serbuan kira-kira jam 10 pagi itu, enam lelaki termasuk dua warga Indonesia berjaya ditahan ketika sedang asyik menjalankan kegiatan haram tanpa menyedari pergerakan mereka telah lama dipantau pihak berkuasa.
“Hasil serbuan tersebut, pasukan berjaya merampas sebanyak 400 batang balak pelbagai jenis yang ditebang secara haram serta beberapa jentera berat dengan anggaran nilai mencecah RM5.7 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pasukan turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda, dua mesin jengkaut (Kobelco) dan sebuah jentolak yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pembalakan haram itu.
Kesemua suspek, berusia antara 32 hingga 61 tahun, kini disiasat di bawah Ordinan Hutan Sarawak 2015 serta Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana menceroboh dan berada di negara ini tanpa dokumen yang sah.
“Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Hutan Cawangan Bintulu untuk tindakan lanjut,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Dr. Che berkata kejayaan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sepanjang pelaksanaan Op Taring Libas sejak 1 Januari hingga 14 April 2025 kini mencecah RM214 juta.
Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 99 kes telah direkodkan, dengan 239 tangkapan melibatkan 176 warga tempatan dan 63 warga asing, serta 146 kenderaan pelbagai jenis berjaya dirampas.
“Briged Sarawak PGA akan terus menggempur saki-baki sindiket yang masih berani mencabar undang-undang dan menggondol hutan sesuka hati. Kita tidak akan berkompromi,” tegas beliau.





