ARTIKEL

Uggah ketika berucap sempena Majlis Perasmian Pusat Service Sarawak Betong. | FOTO: Tangkapan layar siaran langsung UKAS

Rakyat Betong kini tidak perlu lagi bergantung pada borang kertas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BETONG: Penduduk di kawasan luar bandar khususnya di Betong diseru untuk mendaftar SarawakPass supaya dapat memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan digital Kerajaan Sarawak.

Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata perkara tersebut penting kerana platform berkenaan membolehkan pengguna mengakses maklumat dan memohon pelbagai perkhidmatan yang disediakan secara dalam talian.

Uggah menyempurnakan pelancaran Pusat Service Sarawak Betong disaksikan tetamu kehormat yang lain. | FOTO: Tangkapan layar siaran langsung UKAS

Katanya, pendekatan seumpama itu juga akan memudahkan pengguna sekali gus menggantikan prosedur manual.

“Justeru, dengan platform SarawakPass, kita tidak perlu lagi mengisi borang di atas kertas.

Dahulu, untuk memohon sesuatu perkhidmatan, kita perlu mengisi puluhan helaian borang.

“Kini, semuanya tersedia secara dalam talian serta telus dan efisien sama ada untuk bantuan subsidi, skim ternakan atau bantuan pembangunan pertanian. Ini gaya hidup baharu yang perlu kita terima dan manfaatkan sepenuhnya termasuk di Betong,” katanya.

Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata demikian sempena Majlis Perasmian Pusat Service Sarawak Betong.

SarawakPass merupakan penjenamaan semula SarawakID yang dipertingkatkan dengan ciri keselamatan tambahan untuk memastikan akses lebih selamat kepada perkhidmatan digital yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak.

Pengguna hanya perlu mendaftar sekali untuk mendapat akses segera ke seluruh perkhidmatan dalam talian yang tersedia tanpa perlu mendaftar semula atau log masuk semula ke perkhidmatan lain.

Sementara itu, Uggah menambah, kemajuan pesat di Betong dapat dilihat melalui pelaksanaan beberapa projek infrastruktur utama yang hampir siap seperti lapangan terbang baharu terletak kira-kira 15 minit dari pusat bandar.

Menurutnya, ia turut merangkumi Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) sekitar 30 minit dari sini, serta beberapa jambatan dan jalan seperti Jambatan Batang Lupar II, Jambatan Batang Saribas I dan II.

“Kawasan ini bertuah kerana banyak projek telah dirancang dan sedang berjalan dengan baik.

Pembangunan ini dapat dilaksanakan hasil kepimpinan berwawasan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang berani, bijak dan mampu menjana hasil untuk negeri,” ujarnya.

Dalam hal berkaitan, beliau menegaskan usaha Kerajaan Sarawak dalam membangunkan infrastruktur mencerminkan komitmen untuk memastikan semua rakyat di negeri ini termasuk yang tinggal di kawasan luar bandar dapat menikmati kemudahan perhubungan yang lebih baik serta peningkatan taraf hidup.

“Setiap jalan baharu yang dibina adalah satu cara untuk kita berkhidmat kepada rakyat. Ini juga cara Premier membantu mereka yang masih belum mempunyai akses jalan raya yang sempurna.

“Menjelang 2030 di bawah kepimpinan beliau Sarawak akan menjadi negeri maju dan makmur, semua rakyat akan menikmati pertumbuhan ekonomi, keterangkuman sosial dan kesejahteraan menyeluruh,” jelasnya.

Sehubungan itu, Uggah turut menggesa rakyat Betong supaya terus bekerja keras, kekal bersatu dan menyokong usaha Kerajaan Sarawak ke arah mencapai visi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

“Kita mesti kekal bersatu tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang serta memberi sokongan penuh kepada Premier supaya menjelang 2030 Sarawak terus maju, anak-anak kita berjaya dan rakyat kita makmur,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU