ARTIKEL

Rakyat Harap Bajet 2026 Fokus Kurangkan Tekanan Kos Sara Hidup

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Golongan orang awam dan peserta Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) atau Sahabat AIM berharap Bajet 2026 memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan tekanan kos sara hidup, meningkatkan peluang ekonomi serta memperkukuh sokongan kepada usahawan kecil dan mikro di seluruh negara.

Mereka berpendapat bajet kali ini perlu benar-benar berpaksikan rakyat dengan menumpukan kepada bantuan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah (B40), suri rumah dan peniaga kecil.

Seorang Sahabat AIM, Sarinah Hossini, 62, berkata ramai ahli AIM masih memerlukan sokongan kewangan tambahan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

“Modal yang kami ada masih kecil. Kalau kerajaan boleh tambah dana atau sediakan skim geran khas untuk Sahabat AIM, ia akan bantu kami tingkatkan pendapatan dan buka peluang pekerjaan baharu,” katanya.

Beliau turut berharap kerajaan memperkenalkan program latihan pemasaran digital dan keusahawanan moden bagi membantu peniaga kecil menyesuaikan diri dengan cabaran ekonomi masa kini.

“Kami mahu belajar cara promosi dalam talian, bukan hanya bergantung kepada jualan di pasar. Latihan seperti ini sangat membantu,” ujarnya.

Bagi golongan muda, Raudhatuul Jannah Adzarin, 21, berkata Bajet 2026 harus memberi fokus kepada peluang pekerjaan, latihan kemahiran dan sokongan kepada usahawan belia bagi mengurangkan kadar pengangguran serta menggalakkan anak muda berdikari.

“Ramai belia berdepan kesukaran mencari kerja tetap, terutama selepas tamat pengajian. Kami harap bajet kali ini sediakan lebih banyak latihan teknikal, insentif gaji dan peluang untuk memulakan perniagaan kecil,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan memperluas program geran pemula niaga (start-up grant) dan bimbingan keusahawanan digital bagi membantu belia membina kerjaya dalam ekonomi moden.

“Anak muda sekarang kreatif dan bersemangat. Kalau diberi peluang dan modal, ramai yang boleh berjaya,” ujarnya lagi.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Mohamad Syahril Adzhar, 42, berkata fokus utama Bajet 2026 perlu melibatkan kawalan harga barang keperluan asas dan peningkatan insentif gaji, khususnya kepada pekerja sektor swasta yang berpendapatan sederhana.

“Kos sara hidup makin tinggi, tapi gaji di sektor swasta tidak banyak berubah. Kami harap kerajaan pertimbangkan insentif cukai atau rebat khas untuk pekerja bergaji tetap,” katanya.

Beliau juga menyarankan agar kerajaan memperkenalkan skim perlindungan sosial yang lebih menyeluruh bagi golongan pekerja swasta, termasuk bantuan kesihatan dan kebajikan keluarga.

“Ramai pekerja swasta tidak layak untuk bantuan kerajaan sedia ada. Diharap bajet kali ini lebih inklusif,” ujarnya.

Bagi suri rumah, Zatuul Muhaiminah, 35, berharap Bajet 2026 memberi perhatian kepada bantuan isi rumah dan keperluan asas keluarga, khususnya bagi mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Kami yang duduk di rumah pun terasa kesan kenaikan harga barang. Duit belanja dapur semakin kurang, tapi keperluan anak-anak semakin banyak,” katanya.

Beliau berharap kerajaan mempertimbangkan bantuan khas untuk suri rumah, termasuk skim simpanan, insurans atau baucar barangan dapur bagi meringankan tanggungan keluarga.

“Kalau ada bantuan khas untuk kami, sekurang-kurangnya dapat kurangkan tekanan setiap bulan,” tambahnya.

Sarinah Hossini
Raudhatuul Jannah Adzarin
Zatuul Muhaiminah

BERITA LAIN

BERITA TERBARU