KUCHING: Susulan pencapaian memberangsangkan melalui Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030, Kerajaan Sarawak kini merancang arah baharu yang dikenali sebagai ‘reborn direction’ untuk fasa seterusnya PCDS.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, PCDS seterusnya akan melibatkan sesi-sesi dialog dengan pihak berkepentingan lain bagi menetapkan arah baharu untuk fasa seterusnya PCDS berdasarkan data-data yang telah dirangka.
“Secara ringkasnya, perjalanan kita sudah ada dan apa yang dilakukan sekarang ialah meneroka alat dan mekanisme baharu untuk menggerakkan usaha kita termasuk memanfaatkan industri baharu yang berasaskan tenaga hijau dan produk hijau.
“Malah, saya turut meminta Datuk Amar Jaul Samion, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, untuk memulakan dialog itu pada tahun depan dan berkongsi data tentang pencapaian negeri bersama pihak berkepentingan bagi merancang langkah seterusnya untuk lima tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran PCDS 2030: Sorotan 2023 – Laporan Tahunan Pertama Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19, (PCDS) 2030, di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, berdasarkan perbincangan di Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-29 (COP29) di Baku, Azerbaijan, keutamaan utama dunia masa kini adalah memastikan pasaran global membeli produk hijau.
“Dan semasa COP29 saya dapati bahawa dunia memberi tumpuan kepada isu tenaga hijau dan mereka mahu pasaran membeli produk hijau sebagai keutamaan.
“Maksudnya produk hijau ialah proses pengeluarannya mesti hijau. Jika pasaran berdasarkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang memerlukan produk hijau, mereka perlu ke kawasan hijau.
“Jadi, jika kita menjadi sumber kawasan hijau, pasaran global akan memilih kawasan kita,” katanya.
Abang Johari turut menjelaskan selepas menghadapi cabaran akibat pandemik COVID-19, kerajaan negeri telah meneroka pelbagai cara untuk bangkit semula melalui dialog bersama semua pihak berkepentingan serta jentera kerajaan.
Tegasnya, tempoh lima tahun akan datang menuntut kerja keras untuk memastikan rakyat Sarawak menikmati kehidupan yang lebih baik dengan pendapatan isi rumah yang lebih tinggi menjelang 2030.
