Rakyat Sarawak berada di China 14 hari lepas, dinasihati dapatkan pemeriksaan awal virus corona

KUCHING: Rakyat Sarawak yang telah berada di Negara China selama 14 hari yang lalu diminta untuk pergi ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan awal virus corona.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Prof Sim Kui Hian berkata, buat masa ini beliau menasihati agar orang ramai mengamalkan kebersihan diri.

“Bagi mereka yang telah ke Negara China selama 14 hari yang lepas, saya menasihati mereka supaya berjaga-jaga dan jika mendapati diri ada demam dan batuk segera pergi ke hospital.

“Selain itu, terus amalkan kebersihan diri seperti kerap membasuh tangan dan jika boleh elakkan keluar di tempat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditanya pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di rumahnya, di sini petang tadi.

Menurutnya, untuk masa sekarang virus corona belum ada penawar yang mana pada tujuh hari pertama jangkitan virus tersebut tidak menampakkan simptom.

Suara Sarawak