BUDAPEST: Rakyat Sarawak yang berada di perantauan disifatkan sebagai aset penting negeri dalam menyokong agenda pembangunan Sarawak melalui kepakaran dan pendedahan global yang mereka miliki, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau berkata Kerajaan Sarawak amat menghargai sumbangan rakyatnya di luar negara dan mengalu-alukan penglibatan berterusan mereka dalam usaha memperkukuh pembangunan negeri.
“Sarawak kini semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa menerusi kemajuan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, ekonomi hidrogen, pembangunan mampan serta transformasi ekonomi di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Ketika Sarawak terus melangkah ke hadapan, kita menantikan penglibatan yang lebih erat dengan rakyat Sarawak di seluruh dunia. Pengetahuan, pengalaman dan pendedahan antarabangsa yang anda miliki mampu memberi sumbangan berharga kepada perjalanan pembangunan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pertemuan bersama komuniti rakyat Sarawak di Hungary yang dianjurkan oleh Kedutaan Malaysia di Budapest sempena misi lawatan rasmi kajian delegasi Kerajaan Sarawak ke Hungary dan Austria.
Tambah beliau, rakyat Sarawak di luar negara memainkan peranan penting dalam memperkukuh imej dan reputasi negeri melalui pencapaian serta sumbangan mereka dalam bidang masing-masing.
“Setiap daripada anda merupakan wakil Sarawak yang membanggakan.
“Melalui pencapaian dan sumbangan anda, reputasi Sarawak di peringkat antarabangsa akan terus diperkukuh,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Kedutaan Malaysia di Budapest atas kerjasama dan sokongan yang diberikan sepanjang pelaksanaan program serta sesi libat urus delegasi tersebut.
“Kerjasama erat antara Kedutaan Malaysia dan Kerajaan Sarawak mencerminkan hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh kehadiran Malaysia di pentas antarabangsa,” jelasnya.
Antara fokus utama lawatan tersebut ialah perancangan bandar pintar, pembangunan ekonomi sempadan, keterhubungan logistik, tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan bandar mampan.
Beliau berkata hasil dan pengetahuan yang diperoleh daripada lawatan berkenaan akan dimanfaatkan dalam penyediaan Pelan Tempatan Limbang-Lawas 2035 selain menyokong pembangunan Koridor Pertumbuhan Utara Sarawak.
“Objektif kami adalah mudah. Kami berada di sini untuk belajar dan bertukar idea.
“Oleh itu, kerjasama dan perkongsian ilmu merupakan elemen penting dalam membangunkan penyelesaian inovatif dan pertumbuhan mampan untuk generasi akan datang,” tambahnya.
Pada masa yang sama, beliau turut memuji semangat kebersamaan komuniti rakyat Sarawak di Hungary yang sentiasa membantu dan menyokong rakyat Sarawak yang baharu tiba untuk melanjutkan pelajaran atau bekerja di negara tersebut.
Sepanjang lawatan itu, delegasi Kerajaan Sarawak dijadual mengadakan sesi pertukaran pengetahuan dan amalan terbaik dengan agensi kerajaan, pihak berkuasa bandar raya, institusi perancangan dan organisasi industri di Hungary serta Austria.



