Rakyat ubah jadi i-Kecewa

MAJORITI pencarum kecewa kerana syarat ketat yang dikenakan KWSP bagi pengeluaran i-Sinar.

Teramat kecewa dan kesal dengan syarat dikeluarkan oleh agensi berkenaan, rakyat meluahkan rasa sedihnya di media sosial.

KWSP mengumumkan dua kategori pencarum yang layak mengeluarkan simpanan dalam Akaun 1 melalui skim i-Sinar yang dilaksanakan bagi membantu rakyat menangani kesan Covid-19.

Tidak dibenarkan mengeluarkan sekali gus RM10,000 seperti yang diimpikan sebelum kelulusan Belanjawan 2021 membuat pencarum sangat kecewa!

Apa salahnya, syarat itu dilonggarkan sedikit kepada semua pencarum dan terpulang kepada mereka, kalau mereka perlu keluarkan RM10,000 atau sebaliknya.

Bak kata mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kepercayaan perlu diserahkan kepada pencarum sendiri kerana itu dana mereka, duit mereka dan rakyat tahu apa yang diperlukan ketika ini.

Katanya, amat tidak munasabah KWSP menunggu rakyat benar-benar lemas apabila terpaksa menunggu tiga bulan lagi hingga akhir Februari sebelum mendapat pelampung?

Rakyat ketika ini benar-benar lemas dan tidak terdaya untuk berenang ke tebingan. Ramai yang menukar i-Sinar kepada i-Kecewa.

Mengapa susah sangat untuk kerajaan meluluskan permintaan rakyat?

Jika kerajaan bersetuju pada dasar untuk meluluskannya, mengapa tidak dengan alternatif yang dapat memberi impak semaksimumnya kepada rakyat.

KWSP seharusnya membenarkan pengeluaran sukarela secara sekali gus dengan pengeluaran maksimum RM10,000 kepada semua pencarum tidak kira mereka terjejas atau tidak.

Dalam situasi krisis ekonomi kini, tidak perlu untuk KWSP memikirkan soal bersasar mahupun tersasar kerana semua rakyat sedang menderita akibat pandemik kesihatan ini.

Permintaan rakyat mudah dan tidak payah, rakyat hanya mahu pengeluaran simpanan sendiri bukanlah dana tambahan bantuan daripada kerajaan.

Rakyat mahu pengeluaran simpanan sendiri yang dipermudahkan. Hampir semua rakyat terjejas dengan keadaan semasa, walaupun sesetengahnya masih dapat bertahan.

Hari ini dengan kerajaan mengenakan pelbagai prasyarat untuk mengeluarkan caruman tersebut, dijangkakan cuma sebahagian sahaja pencarum berkelayakan menikmati simpanan hari tua mereka.

Bagi pencarum yang telah memohon i-Sinar jika sudah ada duit di dalam genggaman, diharap dapat memanfaatkan wang tersebut dengan sebaiknya.

Suara Sarawak