SETIAP kali menjelang Ramadan sekitar penghujung tahun 70-an hingga 80-an, saya dan rakan-rakan masuk hutan mencari buluh bersaiz besar untuk dijadikan meriam.
Lagi besar lagi bagus, kerana ia mengeluarkan bunyi yang nyaring, berbanding buluh bersaiz sederhana atau kecil.
Bagi belia dan remaja Kampung Kuala Lama, Mukah ketika itu, bermain meriam buluh sepanjang Ramadan hingga awal Aidilfitri merupakan tradisi yang sukar dilepaskan.
Selagi tiada meriam buluh, maka selagi itulah kami tidak senang duduk.
Tidak sukar untuk membuat meriam buluh, namun memerlukan sedikit kepakaran untuk menebuk lubang kecil, berdekatan bahagian pangkal.
Di situlah minyak tanah dituang, sebagai sumber tenaga meriam.
Buluh dipotong sepanjang lima hingga tujuh kaki.
Buluh besar dan panjang akan melantunkan bunyi yang ‘menggerunkan’, persis meriam sebenar.
Malah, bagi anak-anak kampung ketika itu, Ramadan lebih meriah daripada Hari Raya Aidilfitri.
Bermula malam pertama Ramadan hingga awal raya, diraikan dengan bermain meriam buluh.
Ia bagaikan satu pesta.
Anak-anak kampung akan berkumpul selepas sembahyang sunat Tarawaih atau selepas bertadarus.
Bermain meriam hingga larut malam.
Mendengar dentuman meriam bagaikan terapi yang membahagiakan.
Lagi kuat bunyi lagi bagus.
Selain itu, kami juga bermain sembunyi-sembunyi di belakang rumah pada waktu malam, hingga tengah malam atau awal pagi.
Biasanya ia dibahagikan kepada dua kumpulan, satu kumpulan bersembunyi, dan satu lagi kumpulan mencari.
Setiap kumpulan mempunyai sekitar 10 hingga 15 orang.
Lagi ramai, lagi seronok.
Langsung tiada rasa takut, apatah lagi sepanjang Ramadan, syaitan dikatakan dibelenggu.
Cahaya malam di kampung bergemerlapan dengan nyalaan lampu raya, pelita, atau penyuluh yang diperbuat daripada buluh kecil, terutama pada 10 malam terakhir Ramadan.
Kini segalanya tinggal kenangan.
Walaupun saya tidak pernah merakamkan gambar ketika itu, namun gambaran suasananya masih segar dalam ingatan.
Yang pasti, gambar dalam ingatan lebih cantik daripada gambar sebenar.
Kini percikan dan letupan bunga api sebagai pengganti.
Tiada lagi dentuman meriam buluh, apatah lagi ia tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa sejak 90-an, kerana membahayakan.
Ramai yang cedera, malah ada yang hilang anggota badan, kerana lalai dan leka.
Namun masih ada yang bermain secara ‘curi-curi’.
Bagi generasi ketika itu, lagu raya Cahaya Aidilfitri dendangan kumpulan Black Dog Bone dan Dendang Perantau alunan legenda P. Ramlee, begitu menusuk di jiwa.
Setiap kali mendengar lagu tersebut, terpancar nostalgia Ramadan dan Aidilfitri empat dekad yang lalu.
Ketika itu juga tiada bazar Ramadan, mungkin ada yang berjual, tetapi secara kecil-kecilan.
Situasi ini menyebabkan suburnya amalan bersedekah, dalam kalangan penduduk kampung, terutama jiran tetangga, sanak-saudara dan rakan taulan.
Hampir setiap petang sepanjang Ramadan ada sahaja yang bersedekah.
Tidak perlu mengetuk pintu, kerana ketika itu semua pintu rumah penduduk kampung sentiasa terbuka dan ternganga.
Ia turut dibalas dengan sedekah oleh tuan rumah, dan bertambahlah lauk pada hari tersebut.
Begitulah budaya penduduk kampung, bersedekah sambil bertukar juadah, sehingga penuh hidangan, yakni sentiasa ada banyak makanan di atas meja.
Sukar untuk menikmati semula detik-detik seperti itu, namun mungkin masih ada penduduk di perkampungan Bumi Kenyalang yang mengamalkan amalan yang cukup murni ini.
Walaupun bermain meriam buluh hanya satu tradisi, namun ia memainkan peranan penting dalam mengukuhkan ikatan belia dan remaja kampung kami pada era 70-an dan 80-an.
Mengejar pahala berganda
Yang pasti, Ramadan akan datang dan pergi, meninggalkan segala kenangan lalu.
Namun fungsi Rukun Islam yang ketiga itu kekal sama, sebagai bulan mulia penuh keberkatan yang harus dimanfaatkan sebaik mungkin.
Tanpa disedari, hari ini sudah pun masuk hari kelapan umat Islam menahan lapar dan dahaga.
Mungkin ada yang belum berkesempatan untuk menunaikan solat sunat Tarawih secara berjemaah di masjid atau surau, ekoran tuntutan tugas pada waktu malam.
Insya-Allah ada peluang lagi selepas ini, walaupun tidak setiap malam.
Meskipun solat Tarawih ibadah sunat, ia menjanjikan pahala yang sangat besar.
Sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa mendirikan solat pada malam Ramadan dengan iman dan mengharapkan pahala, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu”. (Muttafaqun ‘Alaih).
Sembahyang wajib pula digandakan 70 kebaikan.
Mungkin masih ada yang musykil, sama ada solat Tarawih lapan rakaat atau 20 rakaat (tidak termasuk sunat witir).
Kedua-duanya boleh, kerana ia adalah solat sunat, yang membawa makna; apabila dikerjakan akan mendatangkan pahala, dan jika ditinggalkan tidak berdosa.
Dalam ceramah mingguan di sebuah masjid popular di Kuching baru-baru ini, ustaz jemputan dari Semenanjung menjelaskan bahawa, sebaik-baik solat sunat Tarawih adalah 20 rakaat.
“Setiap pahala individu adalah rahsia Allah SWT.
Namun sebagai hamba-Nya kita perlu berusaha untuk mendapatkan pahala yang berganda-ganda.
Jadi, Ramadan adalah bulan terbaik untuk kita merebut peluang ini (pahala besar),” katanya.
“Kita perlu ‘bekerja lebih’ untuk mendapatkan pahala besar… jadi kerjakanlah solat Tarawih 20 rakaat, dan witir tiga rakaat… itu yang sebaik-baiknya.
“Secara logik akal, sudah tentu pahala individu yang mengerjakan Tarawih penuh 20 rakaat lebih besar pahala daripada individu yang mengerjakan lapan rakaat,” ujar beliau lagi.
Katanya, kita tidak tahu sama ada usia kita sampai atau tidak pada Ramadan akan datang?
Jadi manfaatkanlah setiap Ramadan yang datang ini, sebelum ia pergi.
Satu lagi persoalan ialah Tarawih cepat atau lambat?
Pasti ramai yang menyukai Tarawih cepat.
Misalnya bermula pada jam 8.30 malam, selesai sekitar jam 9.15.
Namun ada masjid yang baru selesai jam 10.15 hingga 10.30 malam, kerana menghabiskan satu juzuk al-Quran setiap malam.
Dalam hal ini, ustaz yang berceramah menyebut bahawa, mendengar imam membaca ayat al-Quran pun dapat pahala, maka semakin banyak imam membaca ayat al-Quran, maka semakin banyaklah pahala yang kita dapat (sebagai jemaah).
Malah katanya, kita juga mendapat banyak pahala sampingan yang lain, seperti beriktikaf di dalam masjid dan menghidupkan malam Ramadan dalam persekitaran beribadah.
Menyedari hakikat ini, Masjid Agung Al-Fatah di Pondok Pesantren Al-Fatah, Magaten, wilayah Jawa Timur, Indonesia, menunaikan solat Tarawih selama lapan jam demi menghabiskan 30 juzuk kitab suci al-Quran dalam satu malam, lapor portal berita TV One News.
Ia disertai ratusan jemaah.
Rakaman video dimuat naik di platform YouTube oleh CNN menunjukkan jemaah mengikuti imam menunaikan solat tarawih 20 rakaat, termasuk witir tiga rakaat, selepas Isyak hingga hampir waktu subuh.
Ketua Pondok Pesantren Al-Fatah, Barley Musaddad berkata, imam-imam dipilih adalah penghafal al-Quran yang telah lulus daripada proses pemilihan yang ketat.
“Tiada paksaan bagi jemaah atau pelajar untuk menyertai solat Tarawih 30 juzuk satu malam.
Jemaah boleh memilih untuk menyertai kumpulan yang membaca satu juzuk, lima juzuk atau 10 juzuk satu malam, bergantung kepada kemampuan masing-masing,” jelas Barley.
Malah terdapat jemaah dari luar Magetan sanggup datang ke masjid untuk menikmati keseronokan solat Tarawih lapan jam.
Realitinya, ia terpulang kepada individu.
Hakikatnya, hanya ada satu Ramadan dalam setahun.
Kita tidak tahu, sama ada kita ada lagi dalam Ramadan selepas ini?
Ramadan adalah bulan untuk melipatgandakan pahala… rebutlah pahala sebanyak mungkin.
Ia adalah ‘madrasah’ untuk mendidik jiwa dan memperkukuh ketakwaan.


