ARTIKEL

JAWAB SOALAN… Abang Zamari menjawab soalan pemberita ketika ditemui selepas Program Perdagangan Haram di Sarawak: Faktor Pendorong, Risiko dan Kos Larangan yang diadakan di sini hari ini.

Rampasan rokok seludup cecah RM7.3 juta

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Aktiviti penyeludupan rokok di Sarawak terus menjadi perhatian apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan rampasan sebanyak 129,817,968 batang rokok setakat tahun ini.

Timbalan Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Abang Zamari Abang Nazarin berkata jumlah rampasan itu dianggarkan melibatkan nilai duti dan cukai sekitar RM7.3 juta.

Beliau berkata angka tersebut menggambarkan skala kegiatan penyeludupan yang masih aktif di negeri ini walaupun operasi penguatkuasaan dijalankan secara berterusan.

“Bagi tempoh 2024 hingga Mac tahun ini, keseluruhan duti dan cukai yang berkaitan dengan kes penyeludupan rokok di Sarawak dianggarkan mencecah kira-kira RM96 juta,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Pematuhan JKDM Sarawak berkata demikian ketika ditemui selepas Program Perdagangan Haram di Sarawak: Faktor Pendorong, Risiko dan Kos Larangan di sini hari ini.

Tambahnya, angka berkenaan menunjukkan usaha penguatkuasaan berjaya mengurangkan sebahagian aktiviti tersebut, namun ia masih belum dapat dibanteras sepenuhnya.

Menurutnya, rokok yang diseludup masuk ke Sarawak dipercayai berasal dari negara jiran.

Bagaimanapun, beliau berkata maklumat lanjut tidak didedahkan kerana masih dalam siasatan serta berkait rapat dengan strategi penguatkuasaan.

“Setakat ini, statistik yang dikongsi hanya melibatkan kes rampasan rokok dan tidak merangkumi barangan lain seperti alkohol,” jelasnya.

Dari segi laluan kemasukan, Abang Zamari berkata aktiviti penyeludupan dikesan berlaku melalui pelbagai kaedah termasuk laluan laut, darat serta penggunaan pintu masuk rasmi.

Kepelbagaian laluan ini, katanya, menunjukkan sindiket sentiasa mengubah taktik bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

“Dalam aspek penguatkuasaan, kekangan bilangan anggota tidak dijadikan alasan untuk menjejaskan keberkesanan operasi.

“Sebaliknya, segala sumber yang ada digerakkan secara optimum bagi memastikan tindakan di lapangan dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

Sementara itu, beliau mendedahkan antara taktik terkini yang dikesan digunakan sindiket ialah kaedah penyamaran, termasuk menyembunyikan rokok dalam pelbagai barangan serta ruang tersembunyi pada kenderaan seperti bahagian tayar.

Secara keseluruhannya, beliau berkata perkembangan ini menunjukkan walaupun jumlah rampasan besar berjaya direkodkan, aktiviti penyeludupan rokok masih berterusan dengan sindiket yang sentiasa menyesuaikan modus operandi bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU