BETONG: Kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas yang berfungsi sebagai penyelaras dalam pelaporan isu-isu berkaitan pelaksanaan projek, termasuk aspek penyelenggaraan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh beliau sendiri.
“Jawatankuasa itu akan dipengerusikan sendiri oleh saya dan dianggotai agensi pusat seperti Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak, Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU), kementerian, jabatan dan agensi teknikal berkaitan.
“Ia akan berfungsi sebagai platform penyelarasan dan pelaporan isu-isu berkaitan pelaksanaan projek, termasuk aspek penyelenggaraan.
“Ini memandangkan penyelenggaraan tidak boleh dianggap sebagai urusan selepas projek siap semata-mata, sebaliknya ia harus dimasukkan dalam kerangka perancangan sejak dari peringkat awal lagi,” katanya semasa melakukan lawatan rasmi ke Bahagian Betong di sini, hari ini.
Menyentuh elemen penyelenggaraan aset yang bakal siap, jelasnya perlu dirancang awal bagi mengelakkan risiko terbengkalai dan tidak dapat berfungsi secara optimum.
Tegasnya, Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) digesa merancang operasi dan penyelenggaraan aset agar setiap projek pembangunan yang dilaksanakan kekal lestari dan memberi manfaat berterusan kepada rakyat.
Tambahnya, penyelenggaraan yang efisien bukan sahaja memastikan kelestarian kemudahan awam, malah mencerminkan kecekapan agensi pelaksana dan keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Abdul Rahman turut menegaskan kepentingan kerjasama erat antara BDDA dan pemilik aset seperti jabatan teknikal serta pihak berkuasa tempatan dalam memastikan penyelenggaraan aset dapat dilakukan secara berterusan dan menyeluruh.
Beliau juga memberi peringatan kepada semua kontraktor yang telah menerima Surat Lantikan (LOA) supaya memulakan kerja-kerja di lapangan dalam tempoh 30 hari, bagi memastikan projek tidak tertangguh dan berjalan mengikut jadual ditetapkan.
Lawatan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuhkan sistem pelaksanaan projek dan memastikan pembangunan yang seimbang serta mampan di seluruh wilayah negeri, khususnya kawasan luar bandar seperti Betong.

