KUCHING: Rancangan membina jalan kampung bagi menghubungkan beberapa kawasan rumah panjang di sekitar Sungai Machan hingga Nanga bakal memberi impak besar kepada penduduk di Machan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machan, Allan Siden Gramong berkata, pembinaan jalan bagi menghubungkan Rumah Panjang Gehinan Anak Jimbon, Ng Semedang Machan hingga Nanga Geramai memerlukan kos sebanyak 30 juta.
“Kos pembinaan RM15 juta yang dipersetujui oleh Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MIRRDA) tidak mencukupi.
“Pembinaan jalan ini menggunakan kaedah jalan berbatu bagi meliputi keseluruhan 12 kilometer (KM) yang akan memanfaatkan 19 buah rumah panjang dan merangkumi sejumlah 387 pintu rumah.
Beliau berkata dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2025), 2024 pada Persidangan Dewan undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Tambahnya, projek ini membuka peluang kepada penduduk yang mempunyai tanah untuk dimajukan.
“Kawan tersebut berpotensi dalam sektor pertanian selain menjadi salah satu strategi untuk merealisasikan inisiatif Kerajaan Sarawak bagi meningkatkan ekonomi dalam mentransformasikan sektor pertanian,”katanya.
Menjelas lanjut, Allan turut mengutarakan kembali pelaksanaan projek Jalan Ulu Poi yang dipertanggungjawabkan di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran.
“Projek ini dapat memberi manfaat kepada enam buah rumah panjang dan sebuah sekolah rendah jika jalan tersebut berjaya disiapkan.
“Projek bagi Jalan Ulu Machan dari Ng Jerangku ke Rumah Lajang Ulu Machan harus dipercepat kerana masih di proses peringkat reka bentuk semenjak 2021 di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
“Saya berharap Kerajaan Sarawak bakal menambah bajet bagi projek Jalan Ulu Poi dan mengutamakan projek Ulu Machan,”jelasnya.

