KUCHING: Kerajaan Sarawak mempunyai rancangan untuk menubuhkan pusat perkhidmatan bagi Nanga Ngungun yang akan memberikan perkhidmatan kepada Pekan Ngemah dan Pekan Nanga Dap.
Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Datuk Len Talif Salleh berkata, Kerajaan Sarawak sedang dalam proses pengumpulan data dan perbincangan bersama pihak berkepentingan dalam penyediaan pelan untuk pusat tersebut.
Menurut beliau, Nanga Ngungun dipilih untuk menjadi pusat perkhidmatan bagi kawasan itu berikutan ia terletak di simpang jalan baru Sibu dan Kapit serta kedudukannya di antara Kapit dan Song.
“Bukan itu sahaja, cadangan penubuhan pusat perkhidmatan di Nanga Ngungun ini terletak kurang 10 kilometer daripada Pekan Nanga Dap dan Pekan Nanga Ngemah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Adun Ngemah Alexander Vincent berkenaan dengan perancangan Kerajaan Sarawak untuk membangunkan Pekan Ngemah, Pekan Nanga Dap dan Pekan Sengayan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini, hari ini.
Sementara itu, Len menjelaskan antara komponen perkhidmatan yang akan dicadangkan bagi pusat perkhidmatan itu termasuk tapak komersial, balai raya, pondok rela dan pondok polis.
“Komponen lain akan ditambah setelah kajian terperinci dijalankan dan mengikut keperluan penduduk setempat,” jelas beliau.
Bagi Pekan Sengayan pula, Len mendedahkan penduduk Pekan Sengayan boleh mendapatkan perkhidmatan dari bandar Kanowit susulan kedudukannya berdekatan dengan bandar tersebut.


