KUCHING: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) akan mengekalkan kerangka semasa Ujian Penilaian Program Dwibahasa Tahun 6 (UP-DLPS 6) Sarawak kerana pelaksanaannya mesti kekal dalam rangka perundangan kelulusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
MEITD dalam kenyataan berkata, ia bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan guru, pelajar dan ibu bapa, memandangkan sistem sedia ada telah mantap dan diterima secara umum oleh semua pihak.
“Kementerian menghargai komen dan cadangan yang diterima daripada beberapa pihak untuk menilai semula UP-DLP Sarawak.
“Kerangka semasa akan dikekalkan kerana kejayaan pelaksanaan peperiksaan ini membuktikan keupayaan sistem pendidikan Sarawak, profesionalisme para pendidik serta kesediaan pelajar untuk menghadapi penilaian yang berstruktur dan berpiawaian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, MEITD berkata UP-DLP menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan program dwibahasa di Sarawak, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh penguasaan mata pelajaran serta kecekapan bahasa dalam kalangan pelajar.
“Penilaian ini dilaksanakan susulan kelulusan rasmi daripada KPM, selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang membolehkan Sarawak menjalankan penilaian berasaskan negeri di bawah kerangka DLP.
Tambah MEITD, walaupun berdepan kekangan peraturan dan operasi, penilaian ini dilaksanakan sepenuhnya mengikut piawaian peperiksaan kebangsaan dan keperluan KPM, sekali gus memastikan kredibiliti, pengiktirafan serta kesinambungan untuk para pelajar.
“Persediaan menyeluruh telah dilaksanakan termasuk pembangunan garis panduan, penubuhan jawatankuasa, pelaksanaan protokol keselamatan peperiksaan yang ketat, sesi taklimat di seluruh negeri, pendaftaran dalam talian, penyediaan dan semakan soalan, percetakan, pengedaran, pengawasan serta proses pemarkahan.
“Operasi logistik dan keselamatan di seluruh negeri juga berjaya dilaksanakan merangkumi di kawasan pedalaman dan luar bandar melalui kerjasama erat antara agensi dengan keselamatan pelajar serta integriti peperiksaan dijadikan keutamaan,” ujarnya.
Sementara itu, berkaitan pengenalan semula penilaian berpusat bagi Tahun 4 mulai tahun ini serta penerusan penilaian Tingkatan 3, MEITD berpendapat ia bagi mengukuhkan peranan penilaian berpiawaian dalam memastikan kesaksamaan, kebolehbandingan dan jaminan kualiti di peringkat nasional.
“Dalam konteks ini, UP-DLP Sarawak tampil sebagai satu inisiatif awal yang sejajar dengan MA63, dilaksanakan dengan kelulusan KPM sambil mencerminkan aspirasi pendidikan Sarawak.
“Kejayaan pelaksanaan juga membuktikan kesediaan institusi keupayaan teknikal serta kematangan tadbir urus dalam mengendalikan penilaian berpiawaian dalam kerangka nasional,” tambahnya.
Sehubungan itu, sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghantar e-mel ke meitd@sarawak.gov.my, atau hubungi 082-356 942.

