Rangsang kerjasama industri minyak dan gas

KUCHING: Usaha mengendalikan kontrak bagi industri minyak dan gas di perairan Sarawak terus diperkasakan dengan perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Kontraktor Petroleum Sarawak (Speca) dengan Industri Pasifik Laut Marin (Pomi) dan Industri Kejuruteraan Pields, semalam.

MoU yang ditandatangani antara Speca dengan syarikat Korea Selatan memberi isyarat, kerjasama tersebut akan merangsang kemahiran, sumber daya dan teknikal kontraktor tempatan di Sarawak.

Presiden Speca Datuk Rahman Lariwoo berkata, penglibatan antara Speca dan rakan kongsi tersebut dalam industri minyak dan gas akan membuka lebih banyak laluan kepada kontraktor tempatan di Sarawak.

Ujarnya, kerjasama ini untuk memberi peluang kepada kontraktor di negeri ini menceburi pembangunan industri berkenaan dengan ilmu, kemahiran dan sumber daya yang tinggi.

“Malah, ia juga bertujuan memperoleh kontrak minyak dan gas terutamanya di perairan Sarawak seperti Petronas, Petros dan apa jua gergasi minyak yang ada di Malaysia.

“Dengan kerjasama daripada pihak luar, saya yakin Kerajaan Sarawak akan menyokong Speca untuk memberi ruang kepada kami mendapatkan kerja minyak dan gas di darat mahupun luar pesisir Sarawak,” katanya pada sidang media selepas mengetuai mesyuarat persatuan itu di sini pada Rabu.

Manakala menurut Pengurus Besar Pomi Meckey Yang pula, sebagai wakil syarikat Korea Selatan, syarikat itu mempunyai banyak pengalaman dalam bidang minyak dan gas termasuk di darat dan di luar pesisir malah syarikat tersebut juga terlibat dalam perniagaan kejuruteraan, perolehan dan pembinaan.

“Berdasarkan pengetahuan dan pengalaman serta kemampuan kami, syarikat ini ingin menyumbang kepada ekonomi Sarawak dengan menyokong Speca dalam aktiviti bersama.  “Justeru, kerjasama ini satu penghargaan yang besar buat Pomi dan Pields agar kami dapat menjalinkan hubungan ini dalam jangka yang panjang dan berterusan,” katanya.