Rapatkan jurang digital

KUCHING: Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) mencapai satu lagi batu loncatan baharu apabila projek Wifi Saluran (WS) berada pada tahap 50 peratus pelaksanaannya sejak awal Februari lalu.

Pengurus Besar SMA, Dr Zaidi Razak berkata, SMA berusaha secara bersepadu untuk merapatkan jurang digital dengan langkah yang mampan dan holistik.

“Pandemik Covid-19 ini telah meningkatkan kepentingan menangani isu jaringan perhubungan yang begitu luas di Sarawak. “Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, SMA terus mencari jalan untuk mempercepatkan pelbagai projek penyambungan seperti yang dimandatkan oleh Kerajaan Sarawak,” katanya.

WS merupakan sebahagian daripada inisiatif telekomunikasi Saluran SMA yang akan meliputi 98 peratus kawasan di Sarawak.

Projek ini merupakan projek pemasangan Terminal Aperture Sangat Kecil (VSAT) dengan menyasarkan kawasan terpencil di luar bandar sebagai penyelesaian interim kepada projek tiang telekomunikasi 300 yang pertama.

Bermula dari Lundu ke Subis dan Mukah ke Baram, sebanyak 102 komuniti luar bandar kini menikmati perkhidmatan satelit jalur lebar.

Pemilihan tapak VSAT ditentukan melalui lokasi 300 tiang telekomunikasi pertama sedia ada dan apabila tiang telah didirikan, setiap VSAT akan dihantar ke tempat yang diperlukan.

Pengguna yang mempunyai Sarawak ID akan menikmati akses 1GB Internet percuma sebulan untuk perkhidmatan WS.

Walaupun berhadapan dengan keputusan saat akhir akibat daripada Covid-19, pemasangan WS terus dilaksanakan mengikut jadual setakat ini.

Pemasangan secara penuh 200 terminal VSAT akan merangkumi seluruh daerah di Sarawak dan dijangka siap pada penghujung Mac ini.

Suara Sarawak