KUCHING: Kebanyakan bazar Ramadan yang beroperasi sepanjang bulan ini menwarkan kepelbagaian juadah yang boleh memenuhi cita rasa pelbagai masyarakat.
Medan jualan makanan seumpamanya iaitu Bazar Ramadan Kota Sentosa juga tidak terkecuali menawarkan juadah yang boleh mencetus kelainan serta mampu memberi kepuasan berganda kepada pengunjung.
Lantas, tidak sah bagi pengunjung seandainya melepas peluang untuk mencuba menikmati kebab Bolet, menu yang menjadi buruan ramai itu.
Tersedia dua resipi utama iaitu ayam dan daging dengan adunan rempah ratus yang dicipta sendiri, kebab Bolet acap kali mengatasi juadah lain dari segi kelarisannya.
Dayang Nuraqeela Awang Jobli memberitahu, hampir dua minggu umat Islam menunaikan ibadah puasa, rutinnya di bazar berkenaan bagaikan tidak senang duduk tatkala melayan kerenah pengunjung yang ingin mendapatkan kebab berkenaan.

“Memulakan rutin jualan seawal jam 2.00 petang setiap hari, sambutan terhadap juadah ini memang di luar jangkaan.
“Bayangkan setiap hari jualan saya boleh melepasi 200 keping roti bagi kedua-dua menu berkenaan (ayam dan daging),” ujar Nuraqeela kepada Suara Sarawak.
Sambil menyatakan juadah tersebut yang dijual pada harga RM5 hingga RM6, pengunjung tidak hanya daripada umat Islam malah pelbagai kaum.
Menurut Nuraqeela, apa yang menjadi keutamaannya dalam menyediakan menu berkenaan ialah memastikan adunan rempah ratus yang diguna sentiasa memberi kepuasan kepada penggemar makanan tersebut.
“Itulah antara kelebihan juadah yang dijual sempena mengambil nama ayah saya Awang Jobli Awang Bidin yang lebih dikenali umum sebagai Bolet.

“Apa yang diutamakan ialah kepuasan bagi setiap pelanggan yang datang membeli kebab ini,” tambahnya.
Bagi Nuraqeela, ketibaan bulan Ramadan sememangnya memberi seribu rahmat kepadanya kerana dapat mencari pendapatan lebih sepanjang bulan yang mulia ini.
Bahkan, dapat menjadi penanda aras kepada dirinya untuk cuba mengembangkan populariti menu berkenaan pada masa akan datang.




