ARTIKEL

Sim ketika mengadakan lawatan ke reruai jualan.

Ratusan ribu ringgit dikumpul, bantu Chung Hua No. 1 bayar gaji guru

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Jualan amal menerusi Karnival Kutipan Dana Sekolah Menengah Chung Hua No. 1, Kuching memainkan peranan penting dalam membantu menampung kos operasi sekolah.

Timbalan Premier, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, program tahunan itu berjaya mengumpulkan dana berjumlah ratusan ribu ringgit bagi membantu keperluan sekolah, termasuk pembayaran gaji guru.

“Dana tersebut amat diperlukan untuk menampung kos operasi sekolah, termasuk pembayaran gaji guru,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian karnival jualan di sekolah berkenaan, di sini, hari ini.

Sim menambah, karnival itu mencerminkan semangat kerjasama pelbagai pihak, termasuk bekas pelajar, masyarakat Cina, pelajar dan komuniti setempat yang terus memberikan sokongan kepada sekolah.

Menurutnya, usaha itu juga dapat memastikan kelangsungan operasi sekolah, selain bantuan kewangan daripada Kerajaan Sarawak yang terus meningkat daripada RM3 juta setahun pada zaman Allahyarham bekas Ketua Menteri Tan Sri Pehin Sri Adenan Satem, dan kini diteruskan oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dengan peruntukan RM10 juta setahun.

“Peruntukan RM10 juta itu banyak membantu kerana dapat menampung antara tiga hingga enam bulan gaji guru.

“Premier juga pernah menyatakan bahawa sekolah Cina adalah untuk semua kaum, khususnya di peringkat sekolah rendah.

Suasana ketika jualan berlangsung.

“Justeru, terdapat beberapa gerai yang diusahakan oleh golongan Bumiputera pada hari ini yang merupakan bekas pelajar yang kembali untuk menyumbang kepada sekolah,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Lembaga Sekolah Menengah Chung Hua Kuching No. 1, No. 3 dan No. 4, Datuk Seri Richard Wee Liang Chiat berkata, karnival itu memberi peluang kepada pelajar untuk terlibat dalam usaha mengutip dana sekolah.

“Melalui program ini, kami mahu memupuk nilai tersebut dalam diri pelajar, di samping memberi mereka peluang memahami kesukaran ibu bapa mencari rezeki.

“Program ini amat baik dan meskipun terpaksa ditangguhkan akibat jerebu, kita bersyukur kerana dapat berkumpul pada hari ini,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU