Rawat air di sekolah luar bandar

KUCHING: Unimas diberi kepercayaan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melaksanakan 11 projek sistem penapisan air di sekolah luar bandar di seluruh Sarawak pada tahun ini susulan kejayaan projek air terawat di SMK Ulu Balingian baru-baru ini.

Naib Canselor Unimas Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, KPM bersetuju memberikan projek berkenaan hasil kejayaan pelaksanaan projek perintis Unimas di SMK Ulu Balingian yang memberi manfaat kepada 800 warga sekolah yang dibelenggu masalah bekalan air bersih.

“Masalah ini berakhir dengan adanya sistem penapisan air ultra yang direka bentuk dan dipasang oleh penyelidik Fakulti Kejuruteraan Unimas dengan kerjasama Universiti Malaya.

“Kepercayaan ini menjadi bukti kemampuan Unimas dalam melaksanakan projek yang berimpak tinggi kepada komuniti,” katanya.

Katanya lagi, keperitan warga sekolah ini mendapatkan bekalan air bersih ternyata terubat setelah sekolah tersebut kini menerima air bersih.

Terdahulu ujarnya, warga sekolah SMK Ulu Balingian bergantung
sepenuhnya kepada air hujan dan air di Sungai Tepus, selain menunggu penghantaran air bersih dari Pekan Selangau setiap hari.

“Bayangkan sebelum ini, pelajar terpaksa memikirkan mengenai bekalan air bersih untuk mereka menjalani rutin harian.

“Menuruni tebing sungai yang curam dan berbahaya setinggi 100 meter untuk menadah air dan kini tidak lagi.

“Keadaan sedemikian sudah pasti mengganggu fokus pelajar semasa sesi pembelajaran, selain mengalami masalah kesihatan akibat menggunakan air tidak terawat,” jelasnya lagi.

Malah kini menyedari kepentingan pengurusan air terawat terutamanya di luar bandar beliau mengumumkan Pusat Air Unimas
bakal ditubuhkan.

“Pusat ini nanti akan bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dan pemegang taruh universiti dalam menyediakan kepakaran untuk membangun dan menaik taraf kemudahan perkhidmatan infrastruktur air, aktiviti penyelidikan berkaitan pengurusan air terawat, serta khidmat perundingan.

“Selain itu, aspek kesihatan awam serta cabaran sosioekonomi dan kelestarian pengurusan air turut dititikberatkan,” katanya lagi.

Beliau percaya dalam usaha Unimas untuk menjadi sebuah jenama global tanggungjawab dalam memupuk transformasi komuniti amat penting agar terus berdaya maju melalui projek yang diusahakan.