ARTIKEL

Gambar hiasan. Foto FREEPIK.COM

Raya mengejut lagi?

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

TARIKH melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada petang Khamis, 19 Mac, di 29 lokasi di seluruh Malaysia.

Di Sarawak, lokasi yang dikenal pasti untuk melihat anak bulan Syawal adalah di Pusat Falak Miri, Teluk Bandung, Kuching dan Bintulu.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja memaklumkan tarikh Hari Raya Puasa akan diisytiharkan pada malam itu juga melalui radio dan televisyen.

Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa kaedah penetapan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab. Jika merujuk kepada takwim Hijrah 1447H, 1 Syawal dijangka jatuh pada Sabtu depan, iaitu 21 Mac.

Namun, timbul persoalan sama ada terdapat kemungkinan berlakunya “raya mengejut” pada tahun ini seperti yang berlaku pada 2022.

Apa-apa pun, kita dinasihatkan agar terus bersedia dan menunggu cerapan pada 19 Mac ini.

KAEDAH TENTUKAN AWAL BULAN HIJRAH

Ahli falak di Malaysia mengguna pakai kaedah rukyah dan hisab berdasarkan kriteria imkanur rukyah (kebolehnampakan) bagi mengesahkan kenampakan anak bulan.

Kaedah itu dipersetujui dan digunakan oleh empat negara anggota Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menterimenteri Agama Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS).

Kriteria imkanur rukyah mula diperkenalkan semasa Muktamar Hilal bagi Penentuan Permulaan Bulan Hijrah di Istanbul pada 26 hingga 29 November 1978 dengan dua ketetapan utama.

Ketetapan pertama ialah ketinggian hilal tidak kurang daripada lima darjah ketika matahari terbenam dan jarak lengkung antara hilal dengan matahari tidak kurang daripada lapan darjah ketika matahari terbenam.

Bagaimanapun, kriteria baharu MABIMS yang dijadikan panduan untuk menentukan awal Hijrah ialah ketinggian bulan ketika matahari terbenam tidak kurang daripada tiga darjah dan jarak lengkung antara bulan dengan matahari (elongasi) tidak kurang daripada 6.4 darjah.

Perkara utama yang perlu difahami ialah kenampakan anak bulan diterima walaupun hanya satu lokasi daripada 29 lokasi cerapan melaporkan terlihatnya anak bulan.

Laporan cerapan kemudian diserahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selaku badan paling berautoriti untuk mengumpul semua laporan, dengan bantuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), bagi menentukan keputusannya.

Oleh itu, penetapan awal bulan dalam kalendar Islam tidak ditentukan secara semberono, sebaliknya mengguna pakai kaedah jalan tengah yang dilihat lebih hampir dengan kehendak syarak.

Mungkin timbul persoalan baharu, iaitu mengapa cerapan tidak dibuat pada Rabu supaya kita lebih bersedia? Dijelaskan bahawa cara penetapan itu adalah berdasarkan hukum syarak yang diguna pakai, iaitu cerapan anak bulan dibuat pada 29 Ramadan.

Jika anak bulan kelihatan, hari raya disambut pada keesokan harinya.

Jika anak bulan tidak kelihatan, hari raya disambut pada lusa. Ramadan di Malaysia bermula pada Khamis, 19 Februari, bermakna pada Rabu, 18 Mac, umat Islam di negara ini masih berpuasa pada hari ke-28.

MENANTI SYAWAL

Walaupun Akademi Sains Astronomi, Angkasa Lepas dan Teknologi Sharjah (SAASST) di Emiriah Arab Bersatu serta beberapa negara Arab lain menjangkakan 1 Syawal disambut pada Jumaat (20 Mac) ini, kita tetap perlu menunggu keputusan rasmi daripada Penyimpan Mohor Besar RajaRaja pada malam 19 Mac. Sepatutnya tiada isu “raya mengejut” sekiranya kita memahami kaedah yang diguna pakai dalam menentukan awal Hijrah.

Mungkin rata-rata kita tidak bersedia pada 2022 sehingga menyebabkan suasana malam raya menjadi kelam-kabut.

Disebabkan kejadian tersebut, kita menjadi lebih bersedia dan semakin ramai yang mengambil tahu tentang ilmu asas astronomi Islam.

Keperluan raya dibeli lebih awal, rumah dikemas dua hari lebih awal dan bahan-bahan untuk memasak dipastikan tersedia.

Saya percaya sekiranya hari raya diumumkan jatuh pada Jumaat, 20 Mac, rakyat Malaysia tidak akan terkejut kerana kita lebih bersedia.

Lupakan seketika kekeliruan mengenai penetapan 1 Syawal dan fokus untuk mengisi malam Ramadan dengan amal ibadah dan kebaikan.

BERITA LAIN

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

Jambatan mudahkan perjalanan pulang

Setiap kali musim perayaan tiba, perjalanan pulang ke kampung menjadi antara perkara yang paling dinantikan, terutama bagi mereka yang bekerja jauh dari kampung halaman. Namun,

BERITA TERBARU