DEBAK: Masyarakat daripada pelbagai peringkat umur disaran mengamalkan gaya hidup sihat dengan meluangkan sedikit masa untuk bersukan dan melakukan aktiviti riadah.
Pendekatan tersebut penting bagi memastikan tubuh badan kekal sihat serta memiliki minda yang cerdas.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohamad Razi Sitam, berkata kesibukan dengan tugasan harian bukan alasan untuk mengenepikan keinginan melakukan senaman atau aktiviti yang menyumbang kepada kesihatan tubuh badan.

Menurut beliau, terpulang kepada kebijaksanaan setiap individu untuk membahagikan masa bagi tujuan tersebut.
“Amat besar manfaatnya apabila kita sering bersukan atau melakukan aktiviti seumpamanya.
“Ia secara tidak langsung dapat mengekalkan kesihatan tubuh badan pada tahap optimum,” katanya ketika berucap pada Program Larian Santai Saribas 2026, hari ini.
Program tersebut merupakan antara pengisian sempena MTB Jamboree Antarabangsa Saribas Edisi Ke-7 2026 yang dijadual berlangsung esok.
Hampir 100 peserta menyertai larian sejauh kira-kira lima kilometer itu.
Datuk Dr Mohamad Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.35 Saribas turut menyempurnakan majlis pelepasan peserta larian berkenaan.
Larian itu turut disertai sebahagian pelumba dari beberapa negara jiran.



