DEBAK: Walaupun lebih setahun siap, Sekolah Kebangsaan (SK) Sebemban dalam DUN Saribas di Betong masih tidak dapat digunakan untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan berkenaan, Datuk Mohammad Razi Sitam menzahirkan rasa sedih.
Menurutnya, sekolah baharu itu siap pada awal 2023, namun masih tidak dapat digunakan, sesuatu perkara yang tidak logik.

“Di kawasan saya (Saribas), ada sebuah sekolah yang siap iaitu SK Sebemban pada awal 2023. Saya difahamkan, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) masih memohon e-Perolehan untuk pembelian perabot.
“Sejujurnya saya sedih memandangkan murid belum dapat pindah ke sekolah baharu.
“Justeru, saya mohon JPNS dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat bertindak segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Peringkat SK Datuk Bandar di sini, hari ini.
Jelasnya, SK Sebemban dibina oleh KPM dengan kos RM10.5 juta.
Dalam usaha meningkatkan taraf pendidikan di Debak dalam jangka masa panjang, beliau mengakui mempunyai rancangan untuk menjadikan SK Datuk Bandar ini sebagai sekolah kluster yang besar suatu hari kelak.
Sebagai bekas seorang pendidik, Razi mengakui komited untuk membantu semua sekolah dalam konstituensinya.
“Sehubungan itu di bawah Pusat Khidmat DUN Saribas, tahun lepas saya membelanjakan sekitar RM1.5 juta untuk sekolah-sekolah dalam DUN Saribas, sama ada melalui peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP).
“Ia kebanyakan digunakan untuk menaik taraf infrastruktur asas dalam sekolah,” katanya menambah, di Saribas terdapat 17 buah sekolah.
Beliau pada majlis yang sama menyampaikan hadiah Pertandingan Pintu Gerbang Aidilfitri di Debak, yang mana dimenangi oleh JKKK Kampung Lalang Hulu, sekali gus menerima RM3,000.
Diikuti naib johan disandang oleh JKKK Kampung Babu Hilir dengan hadiah RM2,000 dan tempat ketiga yang menjadi milik JKKK Kampung Babu Hulu menerima RM1,000.

