ARTIKEL

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan (FEP) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr Afiza Abu Bakar

Realiti Kos Kembali Ke Sekolah Ditanggung Ibu Bapa Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Usaha membantu peringkat sekolah rendah dan menengah boleh dilihat sebagai kesinambungan falsafah yang sama selari dengan hala tuju Sarawak yang bergerak ke arah pendidikan percuma.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan (FEP) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Afiza Abu Bakar berkata, langkah ini bukan sekadar bantuan kewangan semata-mata.

“Ini akan menjadi isyarat jelas bahawa pendidikan benar-benar menjadi pelaburan jangka panjang negeri.

“Jika bantuan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan konsisten, sudah cukup untuk meringankan beban ibu bapa walaupun dengan jumlah sederhana,” katanya kepada Suara Sarawak hari ini.

Beliau berkata, sekolah kerajaan tidak mengenakan yuran pengajian seperti sekolah swasta tetapi ibu bapa tetap menanggung kos pendaftaran dan persekolahan pada awal tahun.

Kos termasuk buku latihan, buku tulis, alat tulis dan keperluan kelas untuk sekolah rendah biasanya memerlukan perbelanjaan antara RM80 hingga RM200 seorang anak. Kos tersebut meningkat kepada antara RM200 hingga RM330 bagi sekolah menengah kerana keperluan alat tambahan.

“Komponen yang paling dirasai ialah pakaian seragam dan kelengkapan sekolah. Untuk sekolah rendah, kos minimum lazimnya sekitar RM150 hingga RM300 seorang manakala sekolah menengah sekitar RM200 hingga RM400 seorang.

“Apabila digabungkan, jumlah kos awal boleh mencecah sehingga RM500 bagi sekolah rendah dan RM700 bagi sekolah menengah.

“Jumlah ini agak membebankan terutama bagi keluarga yang mempunyai ramai anak bersekolah pada tahun berkenaan,” katanya.

Jelasnya, Sarawak wajar mempertimbangkan inisiatif seumpama ini tetapi dengan pendekatan yang bijak dan berpaksikan realiti kehidupan rakyat, bukan sekadar meniru secara bulat-bulat inisiatif sedia ada.

“Sarawak sebenarnya telah lama membantu keluarga melalui bantuan kelengkapan sekolah dan baucar pakaian seragam bernilai RM200 yang boleh digunakan untuk membeli baju sekolah, beg, kasut dan stoking.

“Dalam konteks ini, ruang penambahbaikan di peringkat negeri tidak semestinya melalui bantuan bersasar semata-mata, tetapi boleh juga difikirkan sebagai bantuan universal kepada semua murid yang bersekolah di Sarawak,” katanya.

Tambahnya, pendekatan ini lebih inklusif, mudah dilaksanakan dan tidak mewujudkan rasa terpinggir dalam kalangan keluarga yang mungkin tidak tergolong dalam kategori tertentu tetapi tetap terkesan dengan kos sara hidup.

“Sesebuah bantuan yang menyeluruh itu lebih mudah, lebih cepat dan lebih dekat dengan denyut nadi rakyat,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bantuan pendidikan seperti ini bukan bertujuan menggantikan peranan ibu bapa, tetapi bertindak sebagai sokongan sementara yang sangat bermakna.

“Isu ini bukan kerana ibu bapa enggan membayar atau mahu melepaskan tanggungjawab terhadap pendidikan anak-anak. Sebaliknya, majoriti ibu bapa sentiasa berusaha sedaya upaya menyediakan keperluan persekolahan walaupun terpaksa berjimat dalam keperluan lain,” katanya.

Justeru, katanya, pelaksanaan Bantuan Awal Persekolahan bernilai RM150 secara sekali beri untuk sesi 2026 memang dialu-alukan kerana kos kembali ke sekolah selalunya berlaku serentak dalam tempoh yang sangat singkat.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU