ARTIKEL

Rebak Bercampur Sampah, Penduduk Dinasi­hati Tidak Cemar Sungai

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DEBAK: Penduduk di kawasan Debak terutama perkampungan di sepanjang Sungai Rimbas diingatkan agar tidak sesuka hati membuang sampah ke dalam sungai.

Ia susulan fenomena kayu hanyut atau rebak yang berlaku baru-baru ini dan dilihat bercampur dengan sampah sarap yang dibuang ke dalam sungai.

Temenggung Masyarakat Melayu Bahagian Betong, Pi’ee Alwi berkata, Sungai Rimbas dan rebak bukan sesuatu yang asing, malah masyarakat setempat sudah lama memahami fenomena tersebut yang berlaku sejak turun-temurun.

“Namun baru-baru ini seperti video yang tular di media sosial, rebak dilihat bercampur dengan sampah sarap… macam-macam ada.

“Sehubungan itu saya menyeru penduduk di sekitar Sungai Rimbas supaya tidak sewenang-wenangnya membuang sampah ke dalam sungai kerana tindakan itu bukan sahaja mengganggu aktiviti harian penduduk tetapi turut mengundang pembiakan buaya di sungai ini,” katanya kepada Suara Sarawak hari ini.

Jelasnya, rebak di Sungai Rimbas bukan perkara baru.

“Malah seingat saya pernah berlaku dalam keadaan luar biasa apabila tiada lagi ruang di sungai. Ia mungkin berlaku dalam tiga tahun sekali berdasarkan air pasang surut.

“Namun uniknya apabila tiada, ia hilang sepenuhnya malah di tebing pun tiada. Keadaan ini berlaku dalam sehari dua sebelum sungai kembali normal seperti hari ini.

“Dalam keadaan ini kehadiran rebak dilihat lebih kepada fenomena alam yang wujud sejak dulu lagi.

“Pun demikian bersama-samalah kita mengambil tanggungjawab menjaga kebersihan sungai dengan tidak membuang sampah sesuka hati,” ujarnya.

Pi’ee juga tidak menolak perlunya usaha agensi berkaitan bagi memastikan sungai kekal bersih.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU