KUCHING: Pembayar cukai diseru untuk merebut peluang menyertai Program Khas Pengakuan Sukarela 2.0 (PKPS 2.0) untuk memperbaik status pematuhan cukai mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, lebih 50,000 pembayar cukai telah menyertai program tersebut sejak Jun tahun lalu dan telah mengutip sebanyak RM890 juta.
Justeru, orang ramai yang ingin memperbaik status pematuhan cukai mereka harus merebut peluang menyertai program.
“Kalau mereka masih lagi ada kesilapan yang belum diperbetulkan dari tahun-tahun sebelum ini, boleh menyertai proram ini.
“Kita berharap lebih ramai lagi pembayar cukai akan mengambil peluang untuk menyertai program ini kerana kita tidak akan kenakan penalti kepada pembayar cukai yang menyertai program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual media selepas menyempurnakan majlis Hari Raya Aidilfitri dan Ramah Mesra bersama Media Sarawak di Akedemi Pencukaian Malaysia Kuching, di sini Jumaat.
Turut hadir, Timbalan Pegawai Eksekutif (Pematuhan Hasil) Datuk Hisham Rusli
dan Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia Sarawak Vijayen Nagalingham.
Abu Tariq berkata, selepas berakhirnya program tersebut, penalti akan dikenakan selepas sesuatu kes tersebut telah diaudit.
Katanya, penalti akan dikenakan jika terdapat cukai tambahan dalam 15 peratus ke 45 peratus dan bergantung kepada kesalahan pertama, kedua dan ketiga.
“Jadi untuk mengelakkan penalti ini selepas tindakan audit, adalah lebih baik pembayar cukai laporkan awal kesilapan yang dilakukan sebelum ini,” jelasnya.

