KUCHING: Reformasi pendidikan bukan sahaja melibatkan dasar-dasar besar tetapi juga perubahan yang berlaku dari peringkat akar umbi termasuk di dalam kelas, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Menurutnya, penganugerahan yang diberikan kepada warga pendidik membawa makna yang besar kerana ia mengiktiraf usaha reformasi pendidikan yang dilakukan dari peringkat akar umbi.
“Kita sering bercakap tentang reformasi sekolah, namun unit paling asas dan penting dalam sesebuah sekolah adalah di dalam kelas.
“Di sinilah bermulanya perubahan. Inilah tempat interaksi antara guru dengan pelajar, yang memberikan kesan langsung kepada pendidikan kita.
“Para guru yang mendidik dengan ikhlas, mencorak pengalaman pembelajaran yang memberi impak langsung kepada anak-anak murid dengan prestasi cemerlang adalah contoh terbaik bagaimana reformasi itu berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2025 di sini, hari ini.
Guru Pemacu Reformasi Pendidikan menjadi tema sambutan Hari Guru tahun ini, yang mengangkat peranan golongan pendidik dalam menggerakkan perubahan pendidikan negara.
Sambutan gilang-gemilang dan Sarawak sebagai tuan rumah memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan profesion perguruan dan memartabat pendidikan negara menerusi reformasi berasaskan bilik darjah.
Fadhlina menyifatkan sambutan itu amat bermakna bukan sahaja kepada para pendidik, malah kepada seluruh masyarakat Malaysia yang menghargai jasa dan pengorbanan guru.
“Hari Guru yang jatuh pada tanggal 16 Mei bukan sekadar sambutan tetapi pengiktirafan terhadap mereka yang tidak pernah jemu mendidik anak bangsa dengan sepenuh hati dan jiwa.
Majlis tersebut menyaksikan sebanyak 32 kategori anugerah disampaikan kepada seramai 101 orang, melibatkan guru-guru dari seluruh Malaysia, sebagai pengiktirafan atas prestasi cemerlang dan membawa impak besar dalam pendidikan negara.
Beliau turut menyeru agar semua pihak terus komited dalam memartabatkan mutu pendidikan di negara ini, dan sentiasa menghargai jasa warga pendidik yang telah banyak berkorban demi generasi akan datang.


