Regata Pusa 2019: Barracuda 69 bolot RM8,000

JENTERA Barracuda 69 yang gah di hadapan tanpa sebarang saingan memastikan pasukan dari Kampung Kalok itu dinobatkan sebagai Raja Sungai Rimbas buat kali kedua (terdahulu 2017) sekali gus membawa pulang RM8,000 pada edisi Regata Pusa 2019 bersempena penganjuran Pesta Pusa yang berakhir kelmarin.

Perahu tersebut merupakan jentera baharu yang baru sahaja diturunkan untuk perlumbaan edisi kali ini.

Seperti dijangka, pasukan tajaan Megatech itu tidak menghampakan penyokongnya.

Pada aksi akhir Sakai 30 tersebut, sebuah lagi perahu mereka iaitu Barracuda 10 dinobatkan sebagai pemenang naib juara seterusnya diikuti Wali Putih Pusa 5 di tempat ketiga yang turut memberikan cabaran sengit.

Bagaimanapun, hasrat mereka untuk menyapu bersih gelaran juara bagi semua acara akhir nampaknya lebur selepas pesaing terdekat iaitu Wali Putih milik Abu Seman Jaya berjaya mendahului acara akhir Sakai 15 yang dilangsungkan kira-kira 3:00 petang.

Sejak gelanggang dibuka pada 10:00 pagi bagi acara akhir Sakai 20, Barracuda sudah mula ‘mengganas’ apabila mereka bergelar juara dan naib juara masing-masing melalui perahu Barracuda 10 dan 9. Tempat ketiga menjadi milik Wali Putih Pusa 6.

Keputusan serupa direkodkan dalam acara akhir Sakai 10 dan 25 yang dilangsungkan selepas itu.

Untuk Sakai 10, Barracuda 8 menjadi juara dan Barracuda 7 bergelar naib juara, manakala Wali Putih 3 menduduki tempat ketiga.

Sementara bagi Sakai 25, jentera Barracuda 10 dan Barracuda 9 masing-masing menempatkan diri sebagai juara dan naib juara. Anak buah Abu Seman jaya (Wali Putih 5) sekali lagi berada pada tempat ketiga.

Aura Barracuda jadi tumpuan

Senario berubah pada acara akhir Sakai 15 yang membuatkan Barracuda 8 kempunan untuk terus memonopoli perlumbaan. Keputusan seterusnya menyaksikan PBB Tambuakar Saribas 2 milik Yak @ Sebeli Kudang berjaya menempatkan diri pada tempat ketiga.

Secara keseluruhan, perlumbaan berjalan lancar dalam semangat kesukanan yang tinggi.

Rata-rata pengunjung mengagumi aura luar biasa Barracuda, namun mereka merasakan kehebatan Barracuda di Sungai Rimbas kali ini tidak boleh dijadikan kayu ukur sebenar.

Hal ini kerana tiada nama-nama pasukan besar lumba perahu yang menyertai Regata Pusa ekoran bertembung dengan Regata Tambirat.

Ramai yang mencabar pasukan Barracuda untuk menunjukkan taring sebenar pada Regata Sarawak di Kuching akhir tahun ini.

Jurucakap pasukan Barracuda Mohidin Bolhassan mengatakan anak-anak buahnya sememangnya layak untuk meraih semua kemenangan itu.

“Mereka berlatih, mereka bersatu hati dan apa yang penting semangat kesukanan sangat tinggi ditunjukkan.

“Kemenangan kali kedua bergelar Raja Sungai Rimbas amat membanggakan.

“Saya pasti semua pekayuh yang telah menyumbang keringat sepanjang tiga hari ini akan lebih bersemangat untuk menempa lebih banyak kejayaan selepas ini,” katanya.

Jelasnya slogan ‘kebo sampey mpusak’ telah memberi semangat luar biasa kepada seluruh pasukan Barracuda.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bersama menyokong perjuangan Barracuda sehingga sampai ke tahap ini.

Beliau turut menyatakan kesediaan untuk membawa Barracuda berentap ke arena lain yang lebih besar.

Turut hadir menyaksikan perlumbaan Adun Beting Maro Razaili Gapor dan isteri.