KUCHING: Hari pertama sukan air berprestij, Regata Sarawak 2023 berlangsung meriah dengan menyaksikan lapan perlumbaan peringkat saringan membabitkan kategori berbeza dilangsungkan.
Perlumbaan dua kategori utama iaitu perahu bidar 30 pekayuh lelaki (Raja Sungai Piala TYT/ Saringan A) dan perahu bidar 30 pekayuh lelaki (Raja Sungai Piala TYT/Saringan B) antara paling mencuri tumpuan orang ramai yang membanjiri sepanjang Tebingan Sungai Kuching.
Menyaksikan kehebatan pasukan Puteri Dang Balai Yayasan Sarawak yang gah mengungguli kedua-dua kategori utama terbabit.
Sekali gus, amaran awal kepada pasukan lain bahawa penyandang gelaran ‘Raja Sungai Sarawak 2022’ itu siap siaga mencetak nama untuk cuba memenangi sekali lagi gelaran tersebut pada perlumbaan akhir yang dijadual berlangsung, Ahad.
Pun begitu, perlumbaan bagi kedua-dua kategori utama petang tadi turut memperlihatkan kehebatan beberapa pencabar lain.
Antaranya, Jang Aiee, Udak 1, Ngah 2, Todak Berjaya, H & D, DBKU Pantai Damai Binladen 1 dan Enraz Cahaya Zen yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik.
Saingan disambung hari ini dan menyaksikan 16 perlumbaan akan dilangsungkan.
Ia membabitkan kategori perahu bidar 7, 10, 15, 20, 25 dan 30 pekayuh lelaki juga peringkat saringan.





