ARTIKEL

Fazzrudin ketika ditemui selepas perasmian Regata Sejijak 2026 di Kuching, hari ini.

Regata Sejijak semakin mendapat sambutan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Regata Sejijak kini diiktiraf sebagai antara platform persediaan utama pasukan lumba perahu dari seluruh Sarawak menjelang penyertaan mereka dalam Regata Sarawak, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara regata paling dinantikan dalam kalendar sukan air negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata, penganjuran yang memasuki edisi ke-16 itu berkembang secara konsisten daripada pertandingan kecil kepada antara regata yang dinantikan penggiat serta pasukan lumba perahu.

“Maksudnya, sudah 16 tahun kita menganjurkan Regata Sejijak. Ia bermula daripada pertandingan kecil sebelum berkembang menjadi antara yang ditunggu oleh penggiat serta pasukan lumba perahu.

“Seperti biasa, kemuncak perlumbaan ialah Regata Sarawak. Namun sebelum menyertainya, pasukan perlu menjalani latihan dan menyertai beberapa pertandingan.

“Regata Sejijak merupakan antara kejohanan dalam kalendar regata negeri yang sentiasa disertai sebelum mereka beraksi di Regata Sarawak,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Regata Sejijak 2026 di sini, hari ini.

Menurut beliau, sambutan terhadap penganjuran regata itu terus meningkat saban tahun, bukan sahaja dari segi jumlah kategori yang dipertandingkan, malah penyertaan pasukan yang semakin memberangsangkan.

Katanya, penggunaan teknologi siaran langsung menggunakan dron sejak dua hingga tiga tahun lalu turut membuka ruang kepada peminat lumba perahu mengikuti perlumbaan tanpa perlu hadir ke Kampung Sejijak.

“Sebelum ini orang ramai hanya dapat menonton perlumbaan di Kampung Sejijak sahaja.

“Tetapi sekarang sesiapa yang ingin menyaksikan perlumbaan boleh menonton siaran langsung menerusi Facebook Pemuda PBB N.6 Tupong,” katanya.

Mengulas perancangan masa hadapan, Fazzrudin berkata penambahbaikan infrastruktur di kawasan regata menjadi keutamaan bagi memastikan penganjurannya terus berkembang, selain menjamin keselamatan penduduk setempat.

Beliau berkata, permohonan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menaik taraf kawasan berkenaan telah mendapat kelulusan selepas beliau sendiri turun padang meninjau lokasi tersebut.

“Kita mengharapkan projek itu dapat dilaksanakan dengan baik, bukan sahaja untuk menambah baik penganjuran regata, malah bagi meningkatkan keselamatan tebing sungai serta rumah penduduk di sekitarnya,” katanya.

Regata Sejijak 2026 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM173,000 dengan enam kategori dipertandingkan, iaitu pekayuh tujuh, 10, 15, 20, 25 dan 30, membabitkan penyertaan 15 pasukan dari seluruh Sarawak.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU