KUCHING: Berpegang kepada prinsip pantang menyerah, pasangan regu tenpin boling Sarawak berjaya merealisasikan misi untuk mempertahankan pingat emas regu terbuka TPB4 Para Sukan Malaysia (SUKMA), 2024.
Walaupun ketinggalan pada awal pusingan dan berdepan saingan sengit, namun semangat juang tinggi, Abang Yahya Abang Azhar dan Nur Syazwani Marais membuktikan kehebatan apabila berjaya melakukan 2,244 jatuhan pin.
Mereka mengalahkan pesaing terdekat dari Selangor, Muhammad Danial Azrai Zulkifly dan Muhammad Hazmi Khairil Azri yang mencatatkan 2,188 jatuhan pin serta pasangan Eliyana Johari dan Syed Umar Syed Abdullah Thani dengan rekod 2,111 jatuhan pin.
Sekali gus mempertahanankan kejuaraan yang diperoleh pada edisi termasya dua tahun lalu di Kuala Lumpur.
Mengakui berdepan saingan sengit, Abg Yahya, 26, berkata, mereka terpaksa bekerja keras untuk mengejar semula kedudukan bagi memastikan kejuaraan edisi lalu dapat dipertahankan.

“Kami memang melakukan sehabis baik untuk merampas kembali tempat pertama walaupun diberikan tentangan sengit,” katanya ketika ditemui pemberita di Megalanes Emart, di sini, hari ini.
Pingat emas tersebut merupakan yang kedua bagi Nur Syazwani, 31, selepas berjaya muncul juara kategori perseorangan wanita TPB4 pada Rabu, manakala Abg Yahya memenangi pingat perak bagi kategori perseorangan lelaki TPB4.
Saingan hari ini yang menawarkan empat pingat emas, menyaksikan pasukan tuan rumah membawa pulang sebanyak tiga pingat, iaitu masing-masing satu emas, perak dan gangsa.
Sementara pada saingan sebelah petang, Sarawak yang diwakili Alim Sohai dan Julaihi Khalik Lamat sekadar berpuas hati memperoleh pingat perak menerusi kategori regu terbuka TPB8, mencatatkan 1,832 jatuhan pin.
Tewas kepada regu Selangor, Ahmad Nazri Hamzah dan Rosheedey Faizal Roslan yang melakukan 1,880 jatuhan pin, sekali gus memungut pingat emas. Manakala regu Pahang, Muhammad Syawal Zahari dan Ruzila Mustafa meraih pingat gangsa dengan 1,750 jatuhan pin.
Pingat gangsa tuan rumah pula diperoleh dalam acara regu terbuka TPB10, menerusi regu Nur Amalina Mohd Mosadad dan Willey Jin Chagik dengan 1,809 jatuhan pin.
Pingat emas menjadi milik regu Melaka, Mohd Rezal Raba dan Muhammad Mulhim Md Jani dengan catatan 2,051 jatuhan pin. Regu Selangor, Mohd Fauzi Md. Ghazali Muhamad Amin Abd Rashid pula membawa pulang pingat perak selepas melakukan 2,042 jatuhan pin.
Saingan kategori TPB1+TPB2/TP3 yang berlangsung pada sebelah pagi menyaksikan regu Selangor, Fazlina Mohd Pauzi dan Mohd Rizal Hassan memperoleh pingat emas dengan 1,682 jatuhan pin, diikuti regu Sabah, Azuan Amir Hassan dan Muhammad Azri Azman membawa pulang pingat perak (1,663 pin), manakala Azri Pinang dan Zainul Akmal Siran dair Johor mendapat pingat gangsa (1,509). Manakala regu tuan rumah,Azzoenickry Gajud dan Jacqueline Kaboh sekadar berpuas hati di tempat keempat dengan 1,493 jatuhan pin.
Esok merupakan hari terakhir acara tenpin boling dengan menawarkan dua pingat emas, menerusi kategori berpasukan trio TPB1+2+3 dan TPB8, TPB9+TPB10.
Setakat hari ini, skuad tuan rumah berjaya menggumpul sebanyak 16 pingat dengan enam daripadanya emas, tiga perak dan tujuh gangsa. Diikuti rapat Selangor yang memperoleh lima emas, lapan perak dan lima gangsa.



