ARTIKEL

Rekod jualan RM3.6 juta

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Sarawak Agrofest 2026 mencatat lonjakan ketara dari segi jumlah kunjungan apabila merekodkan kira-kira 2.5 juta kunjungan berulang sepanjang penganjurannya.

Bagaimanapun peningkatan itu tidak diterjemahkan kepada hasil jualan apabila nilainya merosot kepada RM3.6 juta berbanding RM6.5 juta tahun lalu.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, berdasarkan statistik yang diterima pihaknya, seramai 126,333 pengunjung tunggal direkodkan menghadiri ekspo berkenaan tahun ini.

Beliau berkata, jumlah kunjungan berulang pula meningkatkan hampir empat kali ganda kepada 2.5 juta berbanding sekitar 700,000 yang dicatatkan pada penganjuran tahun lalu.

“Pada tahun ini, jumlah pengunjung tunggal ialah 126,333 orang, manakala kunjungan berulang mencecah 2.5 juta orang.

“Berbanding tahun lepas, jumlah kunjungan berulang adalah sekitar 700,000 orang, menunjukkan pertambahan berkali ganda,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penangguhan Sarawak Agrofest 2026 di tapak Lapangan Terbang Lama, di sini.

Bagaimanapun, Abdul Rahman berkata peningkatan jumlah kunjungan itu belum memberi impak positif terhadap nilai jualan keseluruhan yang merekodkan penurunan hampir 45 peratus berbanding tahun lalu.

Menurut beliau, kemerosotan itu berkemungkinan dipengaruhi beberapa faktor termasuk penganjuran pelbagai acara dan program lain di Bintulu yang berlangsung dalam tempoh sama.

Katanya, beberapa acara besar yang diadakan serentak dipercayai mempengaruhi corak perbelanjaan orang ramai serta mengurangkan tumpuan terhadap pembelian produk dan perkhidmatan yang ditawarkan di Agrofest.

“Dalam tempoh penganjuran ini, terdapat beberapa program dan acara lain yang turut berlangsung di Bintulu termasuk aktiviti pelancongan dan rekreasi yang menarik kehadiran orang ramai.

“Keadaan ini mungkin memberi kesan kepada corak perbelanjaan pengunjung kerana mereka mempunyai pilihan aktiviti dan destinasi untuk dikunjungi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata pihak penganjur perlu memperkukuh strategi promosi dan pengisian program bagi memastikan peningkatan jumlah pengunjung pada masa hadapan dapat diterjemahkan kepada peningkatan hasil jualan.

Beliau turut meminta Residen Bahagian Bintulu, Datuk Nyurak Keti dan Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Sirai Daha memberi perhatian terhadap usaha memperkasakan penganjuran ekspo berkenaan pada tahun hadapan.

Tambahnya, satu sesi penilaian pascaprogram akan diadakan bagi mengenal pasti faktor yang mempengaruhi prestasi jualan selain merangka langkah penambahbaikan yang lebih berkesan untuk edisi akan datang.

“Kita mahu ekspo yang menghimpunkan semua peserta dan pemegang taruh dalam sektor agromakanan di Sarawak ini dikunjungi lebih ramai orang,” katanya.

Abdul Rahman berkata, Sarawak Agrofest bukan sekadar platform pameran dan jualan produk pertanian, malah menjadi medan penting untuk memperkukuh jaringan kerjasama antara pemain industri, usahawan dengan agensi berkaitan dalam memacu pembangunan sektor agromakanan negeri.

Menurutnya, penganjuran program berkenaan turut membuka peluang kepada usahawan tempatan mempromosikan produk, teknologi dan inovasi baharu kepada pengguna, pelabur serta rakan strategik yang berpotensi.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan Sarawak Agrofest 2026.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) atas komitmen mereka dalam memastikan aspek keselamatan sepanjang penganjuran ekspo berkenaan.

Menurutnya, Sarawak Agrofest 2026 berlangsung dengan lancar, bersih dan selamat tanpa sebarang insiden yang tidak diingini, sekali gus mencerminkan komitmen semua pihak dalam menjayakan ekspo agromakanan terbesar di Sarawak itu.

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

Industri minyak dan gas perluas operasi

KUALA LUMPUR: Industri perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia di landasan tepat bagi fasa pertumbuhan selanjutnya dan perlu terus memperluas skala operasi, inovasi

BERITA TERBARU