Rekod pendapatan RM100,000 sebulan

KUCHING: Sebagai salah platform e-dagang Sarawak yang kian pesat membangun, Timogah (Timogah.com) komited menjadi medium pengantara antara petani kecil dan luar bandar memasarkan produk mereka kepada pengguna sehingga kini.

Biarpun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memasuki fasa empat, hasil tanaman dan produk tani di kawasan luar bandar terus dipasarkan oleh Timogah.

Semuanya dijual secara terus dari ladang ke rumah pengguna menerusi aplikasi maya.

Menurut pengasasnya, Heineken Laluan, 36, Timogah kini merancang meluaskan perkhidmatannya terutama di seluruh Sarawak, Sabah dan Kalimantan Indonesia.

Katanya, mereka menyasarkan menjangkau serta membantu lebih ramai petani kecil, peniaga serta pengusaha produk asas tani tempatan di Kepulauan Borneo ini.

“Kita akan terus membangunkan inovasi teknologi dalam operasi harian. Pelbagai strategi akan dibangunkan untuk merancakkan lagi jualan dan memberi kualiti terbaik kepada pelanggan.

“Pembangunan syarikat penting bukan saja untuk melonjakkan jualan tetapi untuk terus memberi impak positif kepada rantaian bekalan makanan tempatan dan negara,” katanya kepada Suara Sarawak.

Untuk April tahun ini sahaja, Timogah berjaya mencapai lebih RM100,000 perolehan hasil dari jualan harian, dan sekitar lebih 1,500 tempahan di terima dalam tempoh satu bulan termasuk lebih 12,000 barangan terjual.

Secara purata, perolehan secara kasar Timogah setiap bulan kini melebihi RM100,000 dan dari segi pembayaran, syarikat memperkenalkan pembayaran digital.

Selain itu, katanya, segala tempahan dan bayaran barangan dilakukan secara atas talian melalui perbankan Internet mahu pun pembayaran tanpa tunai.

 

 

“Kami menerima purata 80 tempahan sehari. Kini Timogah bekerjasama dengan lima petani tetap dan komuniti petani dari Bau, Siburan, Padawan dan Serian.

“Timogah juga bekerjasama dengan vendor dilantik di tiga pasar utama iaitu Pasar Batu 7, Pasar Bandar Riyal dan Medan Niaga Satok,” katanya yang membangunkan aplikasi ini dengan hanya 14 orang kakitangan daripada unit pengurusan dan 10 orang penghantar barangan.

Seperti mana nama jenamanya Timogah bermaksud ‘terkenal’ dalam bahasa Bidayuh Bau, Heineken mengakui nama tersebut membentuk satu kelainan dalam perniagaan.

“Melalui maklum balas pelanggan di media sosial, ramai berpuas hati dengan layanan serta kualiti makanan yang segar di hantar terus ke rumah mereka setiap hari.

“Timogah juga mendapat kerjasama penuh daripada pihak Jabatan Pertanian Sarawak dan MANRED, termasuk di sokong oleh Sarawak Multimedia Authority (SMA).

“Diharapkan jenama ini akan terus memberi manfaat kepada masyarakat tempatan. Kita juga mahu memberi keyakinan bahawa anak Sarawak pun mampu membina perniagaan yang maju setanding syarikat ternama di Asia Tenggara terutamanya dalam bidang e-dagang,” tambahnya.

Untuk April tahun ini sahaja, Timogah berjaya mencapai lebih RM100,000 perolehan hasil dari jualan harian, dan sekitar lebih 1,500 tempahan di terima dalam tempoh satu bulan termasuk lebih 12,000 barangan Secara purata, perolehan secara kasar Timogah setiap bulan kini melebihi RM100,000.

Suara Sarawak