KUCHING: Seorang remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini, atas pertuduhan memandu secara melulu di Jalan Stutong, lalu melanggar seorang penunggang basikal hingga menyebabkan kematian dalam kejadian awal pagi, 1 Mei lalu.
Tertuduh berusia 19 tahun itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai pemandu kereta jenis Proton Satria, memandu secara berbahaya di lorong lurus lalu melanggar seorang penunggang basikal berusia 56 tahun hingga menyebabkan kematian.
Pendakwaan kes mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, hendaklah dipenjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 serta tidak melebihi RM50,000.
Selain itu, jika sabit kesalahan, pelaku juga hilang kelayakan mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun.
Dia melakukan kesalahan itu di Jalan Stutong, sekitar 5.30 pagi, 1 Mei lalu.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin tunai RM20,000 beserta dua penjamin tempatan.
Nursyaheeqa menetapkan tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes pada 23 Jun depan.
Remaja terbabit turut diperintahkan melaporkan diri di Balai Polis Trafik di Simpang Tiga setiap bulan.
Tertuduh hadir ke mahkamah diwakili Peguam Daniel Ling.
Terdahulu, media melaporkan satu kejadian langgar lari yang menyebabkan kematian seorang penunggang basikal dalam kejadian awal pagi, 1 Mei lepas.
Siasatan awal pihak polis mendapati mangsa dipercayai dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan ketika berbasikal menuju ke Saradise.
Menurut rakan mangsa, mereka merancang untuk berbasikal bersama-sama selepas bersarapan di Saradise pada pagi kejadian.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan akibat mengalami kecederaan parah.
Selepas misi mencari tertuduh selama tiga hari oleh pihak polis, Ketua Polis Kuching ACP Alexson Naga Chabu mengesahkan tertuduh menyerah diri di pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik sekitar tengah hari, semalam (5 Mei).

