KUCHING: Mahkamah Majistret hari ini, memerintahkan seorang remaja lelaki dihantar ke Sekolah Hendry Gurney Puncak Borneo selepas mengaku bersalah atas kesalahan melupuskan harta curi iaitu sebuah telefon pintar.
Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali memerintahkan remaja berusia 18 tahun itu menjalani hukuman sehingga berusia 21 tahun.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja melupuskan sebuah telefon pintar milik Rolis Suntek di Kampung Samariang Pinggir, di sini kira-kira jam 10.00 pagi, 1 April lepas.
Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 414 kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, pada 21 Mei lepas, sepasukan polis telah menemu bual salah seorang lelaki yang dipercayai telah membeli sebuah telefon pintar milik pengadu daripada tertuduh.
Berdasarkan siasatan, tertuduh mengaku menjual telefon tersebut dengan harga RM70 kepada seorang lelaki.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.