Remaja ditahan melakukan “wheelie”

KUCHING: Seorang remaja lelaki dan perempuan yang menaiki sebuah motosikal ditahan kerana melakukan aksi “wheelie”, dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan oleh pasukan Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa berkata kedua-duanya yang berusia 18 dan 17 tahun ditahan di simpang masuk Jalan Kampung Pulo Ulu di sini.

“Mereka dibawa ke Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Kuching untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 111 APJ 1987.

Merbin berkata sabit kesalahan di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 boleh didenda RM5,000 hingga RM15,000 dan penjara tidak kurang daripada lima tahun serta hilang kelayakan lesen sehingga lima tahun.

Manakala katanya bagi Seksyen 111 APJ 1987 boleh digantung atau diendoskan lesen serta kehilangan kelayakan daripada mendapatkan lesen.

Sementara, Merbin berkata Op Samseng Jalanan dari jam 4.30 petang sehingga 1 pagi itu telah diadakan di kawasan Jalan Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhamad Salahuddin, Jalan Bako, Jalan Gambier, Jalan Stadium, Jalan Tunku Abdul Rahman Yakuub dan sekitar kawasan Masja,Petra Jaya.

Beliau berkata tujuan operasi dijalankan bagi mencegah dan membanteras samseng jalanan yang memandu atau menunggang secara melulu dan merbahaya.

Katanya sebanyak 32 saman pelbagai kesalahan telah dikeluarkan kepada 23 penunggang motosikal.