KUCHING: Seorang remaja lelaki diperintahkan ke Sekolah Tunas Bakti selama tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah kerana menyimpan harta curi sebuah komputer riba milik bapa tirinya, Disember tahun lalu.
Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman tersebut terhadap remaja lelaki berusia 13 tahun itu selepas pendengaran laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat hari ini.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyimpan harta curi sebuah komputer riba milik mangsa berusia 35 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di kampung Tabuan Dani, kira-kira jam 11.30 pagi, 21 Disember 2022.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh mula ditempatkan di sekolah berkenaan berkuat kuasa hari ini, selain memerintahkan ibu saudaranya melawat sekali dalam tempoh dua bulan sepanjang tempoh penginapan pesalah kanak-kanak itu.
Selain itu, tertuduh juga di bawah pengawasan pegawai kebajikan selepas dibebaskan dari Sekolah Tunas Bakti.
Menurut fakta kes, semasa kejadian, anak pengadu memaklumkan kepada bapanya bahawa tertuduh telah mengambil komputer riba beserta beg komputer tanpa kebenaran.
Pengadu seterusnya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut seterusnya membawa kepada penahanan remaja terbabit pada 21 Disember 2022 sekitar jam 11.30 pagi di kediamannya di Kampung Tabuan Dani.
