KUCHING: Seorang remaja lelaki diperintahkan untuk memasuki Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas dia mengaku bersalah mencuri telefon pintar milik seorang pekerja kedai kopi pada November lalu.
Majistret Ling Hui Chuan memerintahkan demikian selepas pendengaran laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri telefon pintar milik seorang gadis berusia 20 tahun.
Dia melakukan kesalahan itu di sebuah kedai kopi di Taman Batu Gong, sekitar jam 2.50 pagi, 4 November lalu.
Menurut fakta kes, semasa kejadian, mangsa didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang berpura-pura membeli minuman lalu mengambil telefon pintarnya jenama Vivo.
Ketika hendak melarikan diri, rakan sekerjanya berjaya merampas kunci motosikal tertuduh lalu menahan tertuduh.
Tertuduh kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pendakwa Raya, ASP Adzmei Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

