SIBU: Seorang remaja lelaki maut selepas dihempap pagar besi seberat dua tan di tempat kerjanya, di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, kejadian yang menimpa mangsa berusia 18 tahun itu berlaku di sebuah bengkel jentera berat, Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce.
“Pihak polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 10.48 pagi.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati mangsa terbaring di atas lantai dengan mengalami kecederaan di kepala dipercayai dihempap pagar tersebut,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Tambahnya, tiada unsur jenayah ditemui di tempat kejadian yang melibatkan mangsa warga tempatan itu.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke bilik mayat Hospital Sibu untuk tindakan lanjut.
“Bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian mangsa,” tegas beliau sambil mendedahkan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).