Remaja maut kemalangan di Moyan

PADAWAN: Seorang remaja maut selepas kereta Proton Wira yang dipandunya merempuh sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan sebuah motosikal, dalam kemalangan di Moyan, Jalan Batu Kawa di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata dalam kejadian lebih kurang jam 7.40 pagi itu, mangsa bersama seorang rakannya dalam perjalanan dari arah Batu Kawa menuju ke Bau.

“Tiba-tiba kereta mangsa masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah kereta dan sebuah motosikal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Aidil, mangsa dikenali sebagai Aidan Audrey Andrew, 19, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Manakala rakannya, wanita berusia 30 tahun, pemandu Perodua Myvi berusia 47 tahun dan penunggang motosikal berusia 23 tahun cedera.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.

Kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suara Sarawak