Remaja maut kereta terbabas di Jalan Baru Sematan

SEMATAN: Seorang remaja maut selepas kereta dinaikinya bersama empat lagi rakan terbabas di Jalan Baru Sematan, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 pagi, mangsa dikenali sebagai David Dillon Anton, 19, berasal dari Kampung Bungai Raya, Simunjan maut ditempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk belakang kereta jenis Proton Saga itu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 6.25 pagi.

Setibanya di lokasi, anggotanya menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan yang remuk.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik dari Hospital Lundu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta yang dinaiki lima lelaki itu tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di tepi jalan.

Seorang daripada mangsa, Alraxson Menghuan, 16, Kampung Pueh, Sematan berjaya keluar sendiri dari kenderaan dan hanya cedera ringan.

Manakala tiga lagi tercampak keluar dari kenderaan dan mengalami kecederaan parah.

Tiga mangsa yang cedera parah ialah Nickolin Jeffry, 25, dari Kampung Batu Mumong Atas,Simunjan, Danielle Divedrom, 22, dari Kampung Pueh, Sematan dan Sellestin Carl Stanlly,16.

Suara Sarawak