MIRI: Seorang remaja lelaki dilaporkan terjatuh sungai di Kuala Baram pada 3 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada 4 Mac lalu sekitar jam lebih kurang 9.15 malam, daripada pengadu yang merupakan adik kepada mangsa.
“Menurut pengadu, pada jam 5.30 petang semasa dia bersama dengan mangsa dan juga kawannya bermain di wharf sungai di Kuala Baram, dia melihat abangnya membuka baju dan seluar lalu menuju ke tepi sungai.
“Pengadu kemudian terlihat abangnya tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai, kemudian tidak kelihatan di tempat kejadian dipercayai hilang dan lemas,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Bertindak atas laporan tersebut, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa digerakkan pada 5 Mac jam lebih kurang 8 pagi.
Operasi tersebut melibatkan pegawai kanan dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Miri, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan juga Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS).
Katanya, setakat ini mangsa masih belum lagi dijumpai, dan Alexson menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini.
Bagaimanapun kepada individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berkaitan kes ini boleh menghubungi IPD Miri di talian 085-432222 / 095-433400 / 085-433730 atau Balai Polis Lutong di talian 095-655202.




