KUCHING: Seorang remaja perempuan menukar pengakuan bersalahnya kepada tidak bersalah atas pertuduhan memeras ugut ibu kandungnya sendiri dengan menghantar mesej bahawa dia diculik serta akan dibunuh sekiranya wang tebusan RM18,000 tidak dibayar.
Tertuduh berusia 19 tahun itu yang sepatutnya laporan sosial dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini, menukar pengakuannya itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Noorhisham Mohd Jaafar.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 12 Ogos depan, bagi memberi peluang tertuduh mendapatkan khidmat peguam.
Selain itu, mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 (tanpa deposit) beserta seorang penjamin tempatan.
Pada 3 Julai lalu, dia mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 387 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memeras ugut ibu kandungnya yang berusia 43 tahun, dengan menimbulkan ketakutan bahawa anak perempuannya akan dibunuh sekiranya wang tebusan RM18,000 tidak dibayar.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya di sebuah premis di Taman Perniagaan Setia di Johor Bahru, Johor, sekitar jam 3.20 petang, 18 Jun lepas.
Difahamkan, tertuduh yang berada di Johor Bahru sejak 27 Mei lalu memperdaya ibu kandungnya dengan menghantar mesej WhatsApp menggunakan nombor telefon baru menyatakan dia diculik serta menuntut wang tebusan RM18,000.
Keadaan tersebut membuatkan pengadu berasa dalam keadaan takut dan seterusnya membuat laporan polis di Balai Polis Kota Sentosa di sini.
Siasatan polis kemudian mendapati dakwaan penculikan itu adalah rekaan tertuduh sendiri bagi memperdaya ibu kandungnya supaya menyerahkan wang sebagai wang perbelanjaan peribadi.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Adriana Maisarah Mohd Farid sementara tertuduh tidak diwakili peguam.




