ARTIKEL

Resipi manis buka rezeki

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Bermula sekadar mencuba resipi manisan pada 2020, Ainul Mardhiah George Aini tidak menyangka minatnya terhadap pencuci mulut mampu berkembang sehingga membolehkannya membuka kedai sendiri hasil titik peluhnya.

Pada awalnya, usaha itu hanya percubaan untuk menghasilkan pencuci mulut mengikut cita rasa sendiri, namun akhirnya menjadi sumber pendapatan selepas mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

Keunikan manisan yang dihasilkan, khususnya dari segi tahap kemanisan yang tidak keterlaluan, menjadi antara faktor produk Ainul, 29, semakin dikenali dalam kalangan pelanggan di Mukah dan kawasan sekitarnya.

Menurut Ainul, minatnya dalam bidang manisan bermula apabila dia gemar mencuba pelbagai resipi baharu yang diperoleh menerusi media sosial sebelum mengubah suai resipi berkenaan mengikut cita rasanya sendiri.

“Pada mulanya, saya hanya mencuba dan suka memberi orang lain merasa pencuci mulut yang saya hasilkan daripada resipi yang diubah suai sendiri.

“Ramai yang menyukainya dan daripada situ, minat saya terhadap dunia pencuci mulut dan pastri semakin mendalam,” katanya kepada Suara Sarawak.

Mengulas lanjut, katanya, percubaan menghasilkan pelbagai resipi baharu dilakukan hampir setiap hari sehingga beberapa jenis manisan yang dihasilkan mula mendapat permintaan daripada pelanggan.

Ujarnya, minat itu turut didorong oleh kegemarannya terhadap manisan, namun pada masa yang sama dia tidak menggemari pencuci mulut yang terlalu manis.

“Saya memang sukakan manisan, tetapi saya tidak suka apabila rasanya terlalu manis.

“Jadi, saya cuba mengubah resipi supaya tahap kemanisannya lebih sesuai dan orang ramai dapat menikmati manisan tanpa rasa terlalu terbeban dengan kemanisannya,” katanya lagi.

Menurut Ainul, penerimaan pelanggan terhadap konsep tersebut memberi keyakinan kepadanya untuk terus bereksperimen menghasilkan pelbagai menu baharu.

Katanya, pelanggan yang kembali membeli produknya kerana mengetahui pencuci mulut yang dihasilkan mempunyai tahap kemanisan sederhana turut menjadi pembakar semangat untuk terus mengembangkan perniagaan.

Ainul turut berkongsi mengenai perjalanan perniagaannya yang bermula dari rumah sebelum berkembang menerusi hebahan dari mulut ke mulut dalam kalangan pelanggan.

“Pelanggan yang pernah menikmati hasil tangan saya mula mencadangkan agar manisan tersebut dijual kepada lebih ramai orang selepas tertarik dengan rasanya yang tidak terlalu manis.

“Daripada situ, saya mula menyediakan perkhidmatan penghantaran kepada pelanggan yang berminat mendapatkan produk saya.

“Selepas perniagaan mula mendapat sambutan, saya memberanikan diri untuk berniaga di Pantai Kala Dana, Mukah.

“Daripada situ juga, saya mula memperkenalkan pelbagai menu manisan kepada masyarakat sekitar Mukah, malah pelanggan dari luar kawasan turut mula mengenali produk saya,” jelasnya.

Di samping itu, Ainul memberitahu, pengalaman berniaga secara langsung dengan pelanggan memberi ruang kepadanya untuk memahami kehendak pasaran selain membina keyakinan untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

Dalam usaha mengembangkan perniagaan, dia turut mengambil kesempatan untuk belajar daripada peniaga lain yang lebih berpengalaman.

Pengalaman dan ilmu yang diperoleh daripada mereka banyak membantunya memahami selok-belok mengurus perniagaan serta menghadapi cabaran sebagai usahawan.

Hasil usaha berterusan, dia akhirnya berjaya merealisasikan impian untuk memiliki kedai sendiri bagi mengembangkan jenama manisan yang dibangunkannya sejak berniaga dari rumah.

“Alhamdulillah, dengan doa dan usaha yang tidak putus-putus, saya akhirnya dapat membuka kedai sendiri menggunakan hasil titik peluh sendiri,” ujarnya.

Namun, perjalanan sebagai usahawan bukan tanpa cabaran, terutama apabila melibatkan kos operasi dan bekalan bahan mentah.

Menurutnya, kenaikan harga bahan mentah serta kos penghantaran ke Mukah merupakan antara perkara yang perlu dihadapi dalam menguruskan perniagaan manisan.

Selain itu, dia turut berdepan masalah bahan mentah yang rosak atau mengalami kerosakan pada bungkusan ketika proses penghantaran dari luar kawasan.

Keadaan itu berkemungkinan berlaku akibat pembungkusan yang kurang sempurna sepanjang proses penghantaran.

Dalam pada itu, antara produk yang kini mendapat sambutan di kedainya ialah Milky Bingsu serta pelbagai jenis biskut yang ditawarkan dalam aneka varian dan perisa.

Bagi memastikan produknya terus dikenali, Ainul Mardhiah menjadikan media sosial sebagai medium utama untuk memperkenalkan menu baharu kepada pelanggan.

Dia turut berkongsi maklum balas dan reaksi pelanggan menerusi media sosial sebagai sebahagian daripada strategi memperkenalkan produk kepada lebih ramai pengguna.

“Media sosial sangat membantu, terutama untuk memperkenalkan produk baharu yang sedang menjadi ikutan dan menarik perhatian pelanggan untuk mencubanya.

“Ramai pengikut turut membantu berkongsi maklumat mengenai perniagaan dan produk baharu saya. Apabila sesuatu kandungan menjadi tular, perniagaan kita dapat dikenali oleh lebih ramai orang,” tambahnya.

Dalam menguruskan operasi kedai, Ainul kini dibantu oleh dua pekerja selain mendapat sokongan padu daripada suaminya yang menjadi antara individu paling banyak membantunya sepanjang membangunkan perniagaan.

“Saya berharap produk baharu yang sedang saya usahakan dapat menarik lebih ramai pelanggan untuk mencubanya.

“Pada masa yang sama, saya berharap perniagaan ini dapat membantu keluarga serta pekerja di sini,” katanya.

Berkongsi nasihat kepada golongan muda yang ingin menceburi bidang perniagaan, Ainul berkata mereka tidak seharusnya takut untuk mempelajari bidang yang diminati dan perlu berani mencuba.

Tambahnya, doa dan usaha perlu bergerak seiring, selain tidak mudah mengalah apabila berdepan kegagalan atau cabaran.

“Jangan mudah berputus asa dan sentiasa belajar perkara baharu. Jika berasa lelah, berehatlah seketika, kemudian bangkit semula dan teruskan perjuangan.

“Bak kata pepatah Melayu, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya,” tambahnya lagi.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU