KUCHING: Resolusi yang dipersetujui sepanjang Persidangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Sarawak 2026 perlu diterjemahkan kepada tindakan nyata bagi memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, segala resolusi yang dipersetujui itu tidak sekadar menjadi dokumen, sebaliknya perlu dilaksanakan secara berkesan bagi memperkukuh sistem penyampaian kerajaan tempatan di Sarawak.
Beliau turut menyatakan sokongan agar persidangan berkenaan diteruskan secara dwitahunan bagi membolehkan kemajuan dinilai, pencapaian diukur serta ruang penambahbaikan dikenal pasti secara berterusan.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil, pada Majlis Penutupan Persidangan PBT Sarawak 2026 di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Penguang dalam ucapannya menyeru semua PBT di Sarawak agar terus mempertingkatkan mutu penyampaian perkhidmatan dengan menjadikan profesionalisme, integriti dan komitmen dalam kalangan pegawai, ahli majlis serta warga kerja sebagai teras utama ke arah mewujudkan kerajaan tempatan yang cekap, responsif dan berkesan.
Sebelum itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya, dalam ucapan alu-aluannya berkata persidangan tersebut diharap dapat memperkukuh amalan tadbir urus, meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan tempatan serta memperkasakan PBT dalam menyampaikan perkhidmatan yang lebih berimpak, berdaya tahan serta mampan.
Majlis turut menyaksikan pembentangan dan penyerahan resolusi persidangan oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Desmond Douglas Jerukan kepada Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak, Wan Mohamad Wan Drahman selaku penganjur program sebelum diserahkan kepada Setiausaha Tetap kementerian berkenaan, Datu Elizabeth Loh.
Seramai 700 peserta menghadiri persidangan secara fizikal dan dalam talian melibatkan wakil pelbagai agensi, khususnya PBT dari dalam dan luar Sarawak, sekali gus menjadikannya platform penting untuk memperkukuh kerjasama, perkongsian amalan terbaik serta komitmen bersama ke arah memperkasakan sistem kerajaan tempatan yang lebih cekap, responsif dan berintegriti.





