ARTIKEL

Revolusi apong pemangkin karbon biru

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Di sebalik keheningan paya bakau yang menyusuri pesisir Sungai Sarawak, tersimpan khazanah alam yang amat berharga.

Nira pokok apong (Nypa fruticans Wurmb) ibarat emas tersembunyi yang tumbuh melata tanpa dihiraukan, sedangkan ia kaya dengan pelbagai kebaikan.

Kini, penghasilan gula apong di Sarawak sedang mengalami revolusi dengan beralih daripada kaedah pembuatan tradisional kepada pemprosesan menggunakan teknologi moden yang berpaksikan kelestarian alam sekitar.

Sehubungan dengan itu, transformasi industri warisan ini bergerak selari dengan unjuran Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Melalui pelan strategik tersebut, Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, komited meletakkan agenda sifar karbon dan ekonomi hijau sebagai paksi kemajuan negeri.

Bagi merealisasikan visi besar ini, satu anjakan paradigma dalam cara sumber asli diuruskan amat diperlukan, sekali gus membuka ruang kepada integrasi sains termaju.

Menyahut seruan tersebut, sekumpulan penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan serta Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) tampil menggembleng kepakaran melalui Projek Pemodenan Apong Samarahan di bawah Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB).

Langkah ini berjaya menyuntik inovasi moden dan kejuruteraan hijau bagi menyelesaikan kekangan industri yang selama ini mengehadkan potensi pasaran gula apong.

Menurut Ketua Projek Pemodenan tersebut, Prof. Madya Ir. Dr. Ana Sakura Zainal Abidin, integrasi teknologi moden dalam ekosistem tradisional ialah kunci utama untuk memastikan industri ini bukan sahaja produktif, malah mesra alam.

Jelas beliau lagi, bersama barisan penyelidik, iaitu Rasli Muslimen, Ir. Dr. Marini Sawawi, Prof. Madya Dr. Mohd Razip Asaruddin, Ir. Rudiyanto Philman Jong, Ts. Mohd Azrin Mohd Said dan Dr. Vanessa Lawai, UNIMAS berjaya membuktikan bahawa pemuliharaan alam sekitar dan pemodenan teknologi mampu bergerak seiring.

Cetusan Inovasi HPS, Pendigitalan Operasi

Simbiosis harmoni antara manusia dengan alam ini diperkukuh lagi apabila sains moden berjaya menyepadukan pengetahuan peribumi (indigenous knowledge) para penuak.

Penuak tradisional amat mahir membaca kitaran bulan, pasang surut air serta menguasai teknik untuk merangsang pengeluaran nira.

Rentetan daripada itu, kepakaran kejuruteraan UNIMAS berusaha menambah baik industri apong menerusi pengenalan dua teknologi utama, iaitu Dapur Sawit Hibrid atau Hybrid Palm Stove (HPS) dan Peranti Pengumpulan Nira.

Sebelum ini, kongsinya, proses memasak nira dilakukan secara terbuka menggunakan kayu api dalam pondok kecil di kebun apong.

Kaedah tradisional ini menyumbang kepada kemusnahan pokok bakau yang digunakan sebagai bahan bakar serta menghasilkan Hidrokarbon Aromatik Polisiklik (HAP) (Polycyclic Aromatic Hydrocarbons, PAH) yang berisiko membahayakan kesihatan.

Namun kini, HPS yang menggunakan gas petroleum cecair (LPG) dengan sistem kawalan suhu digital menjamin kecekapan tenaga yang tinggi dan mengurangkan pelepasan karbon, sekali gus mengekalkan konsistensi kualiti produk serta khasiat apong seperti vitamin C dan mineral.

Kejayaan HPS telah mengubah landskap industri apong di Sarawak. Teknologi ini membolehkan proses penghasilan gula apong dijalankan dalam premis tertutup yang lebih bersih.

“Peranan kami sebagai penyelidik UNIMAS adalah membangunkan Pusat Pemprosesan Apong (PPA) Samarahan sebagai manifestasi industri apong yang moden serta memenuhi keperluan pensijilan.

“Hasilnya, keseluruhan proses penghasilan Borneo Apong Golden Syrup dijalankan dalam persekitaran yang bersih di PPA Samarahan dan telah memperoleh pensijilan Halal daripada JAKIM serta pensijilan MeSTI daripada Kementerian Kesihatan Malaysia,” ujarnya.

Mengulas lanjut, jelas beliau aspek inovasi tidak terhenti pada perkakasan dapur sahaja, malah merangkumi sistem pengumpulan nira yang bersih menggunakan Peranti Pengumpul Nira.

Alat ini direka khusus untuk mengurangkan risiko pencemaran bendasing semasa proses menuai nira apong yang dikumpulkan sepanjang malam. 

Peranti ini berperanan melindungi nira terkumpul dari gangguan serangga, tikus dan pada masa yang sama turut membenarkan sirkulasi udara bagi mengawal suhu nira. Ini dapat memastikan kebersihan dan kesucian nira dari pencemaran.

Kelestarian Komoditi Apong, Perkasa Benteng Karbon Biru 

Meneliti aspek kelestarian ekosistem tersebut, dedah beliau, pokok apong merupakan tumbuhan perennial yang luar biasa, ia akan terus hidup dan tidak memerlukan penanaman semula.

Jangka hayat populasi apong telah melebihi satu abad seperti yang direkodkan di Thailand. 

Struktur batangnya (rizom) yang menjalar secara mendatar di bawah lumpur bertindak sebagai mekanisma semula jadi yang akan terus tumbuh tanpa memerlukan penanaman semula.

Rumpun apong sentiasa dikemas bagi memastikan pokok apong mendapat cukup cahaya matahari dan memudahkan pergerakan penuak semasa menuai nira. 

Malah, katanya kaedah penuak tradisional Sarawak yang menghadkan bilangan tangkai bunga/buah yang akan dituai bagi setiap rumpun pokok apong bagi memastikan penghasilan yang produktif tanpa menjejaskan fizikal pokok merupakan amalan hijau yang sangat mampan.

“Persaingan dengan tanaman komoditi lain seperti pokok sawit yang lebih menguntungkan menjadikan ramai petani beralih arah. Banyak pokok-pokok apong telah dibunuh dan diganti dengan sawit. 

“Bagaimanapun, masih terdapat segelintir penuak yang masih berusaha mempertahankannya. Mereka, penuak adalah wira kelestarian sebenar yang tidak didendang kerana perjuangan mereka memastikan ‘stok’ karbon biru (blue carbon) kekal tersimpan kukuh selama berdekad-dekad. 

“Lagipun, keupayaan paya apong dalam menyerap karbon (carbon sequestration) adalah jauh lebih tinggi berbanding hutan daratan biasa, menjadikannya aset bernilai tinggi dalam skim kredit karbon antarabangsa di bawah Ekonomi Hijau Sarawak,” katanya kepada Suara Sarawak.

Permohonan untuk mewartakan kawasan apong perlu disegerakan. Satu usaha di antara Koperasi Apong Samarahan Berhad, Pejabat Residen Samarahan, Pejabat Daerah Asajaya, Jabatan Ukur dan Tanah Samarahan sedang bekerjasama untuk memetarai pewartaan rizab apong di tebingan Sungai Samarahan. 

Langkah ini amat kritikal, jelasnya, bagi melindungi kawasan sensitif tersebut daripada pemusnahan pokok apong kepada tanaman komersial yang tidak lestari, sekali gus mengekalkan fungsi apong sebagai benteng semula jadi daripada hakisan tebing sungai.

Integrasi ESG, Sistem Kebolehkesanan Data

Bukan itu sahaja, katanya pembangunan industri apong komersial baharu ini turut menerapkan indikator Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang ketat. Daripada aspek Alam Sekitar (E), penurunan penghasilan karbon melalui dapur HPS menjadi metrik utama yang direkodkan. 

Manakala dari sudut Tadbir Urus (G) pula, pengurusan rantaian bekalan kini diperkasakan melalui sistem kebolehkesanan rekod pengeluaran (traceability).

Melalui pendekatan ini, Dr Ana berkata setiap kumpulan pengeluaran di PPA Samarahan diaplikasikan dengan konsep pengeluaran kelompok berasaskan data penuak. Dengan adanya rekod maklumat pengeluaran, setiap botol sirap apong yang dipasarkan boleh dikesan kembali (trace) sehingga kepada pembekal nira asalnya serta tarikh ia dituai. 

Pendekatan tersebut bukan sahaja membuktikan ketelusan urus tadbir, malah mengangkat profil produk tempatan untuk mencapai standard etika pasaran global yang menuntut rantaian bekalan bersih.

Pada masa yang sama, ujarnya transformasi teknologi ini juga memberi impak besar kepada dimensi Sosial (S) dengan mengubah persepsi golongan belia terhadap industri ini. Melalui pengenalan elemen agroteknologi dan automasi, kerja-kerja mengurus apong tidak lagi dianggap sebagai aktiviti bermutu rendah atau 3D (Dirty, Dangerous, Difficult), sebaliknya diiktiraf sebagai kerjaya usahawan tani moden yang berpendapatan tinggi.

Pendekatan Ekonomi Sirkular dan Pasport Global

“Melangkah ke hadapan, sumbangan industri apong dalam merealisasikan PCDS 2030 diperkukuh melalui pendekatan ekonomi sirkular sifar sisa. Melalui inovasi bioteknologi, setiap bahagian daripada pokok apong dioptimumkan sepenuhnya. 

“Sebagai contoh, niranya diproses menjadi pemanis premium, buahnya sebagai produk makanan, manakala sisa pelepah dikaji untuk ditukarkan kepada produk sampingan bernilai tinggi seperti garam apong organik,” jelas beliau lagi.

Selain itu, kajian yang dijalankan oleh penyelidik tempatan dan luar negara seperti Thailand dan Indonesia turut mengesahkan bahawa gula apong mempunyai nilai Indeks Glisemik (GI) yang rendah berbanding gula pasir dan turut mempunyai ciri-ciri antioksidan dan antidiabetik. 

Di samping itu, ujarnya gula apong juga kaya dengan galian dan lebih sihat kerana tidak melalui proses pelunturan. Penemuan biokimia ini menjadi asas penting untuk menjenamakan produk berasaskan apong sebagai functional food ke peringkat antarabangsa, menyasarkan pasaran premium yang mementingkan produk kesihatan organik terutamanya di Eropah dan Asia Timur.

Menurut beliau, pokok apong tumbuh melata di tebingan sungai-sungai utama di Sarawak seperti Batang Samarahan, Batang Saribas dan Batang Rajang. Rasa unik nira apong banyak dipengaruhi oleh kedudukan geografi sungai sebagai sumber utama yang menjadi baja semulajadi kepada pokok nipah. Ini secara tidak langsung menjadikan pokok apong sebagai tanaman organik. 

Katanya, kandungan galian yang terdapat dalam nira apong terjadi secara semulajadi. Kombinasi rasa manis dan lemak masin menyumbang kepada profil unik pemanis apong. Sangat sesuai digunakan sebagai pemanis minuman dan pembasuh mulut seperti pudding serta pengat. 

Selain itu, jelas beliau rasa asli kuih-muih tradisional Sarawak seperti kuih celorot, bongkol, perahu, penyaram dan kosoi sememangnya dipengaruhi oleh keaslian gula apong. Kegunaan sirap apong juga telah dipelbagaikan sebagai topping ais krim, kek dan pancake. Sirap apong ini berasaskan tumbuhan memberi pilihan b sebagai pengganti madu yang mesra kepada vegan.

Sinergi Model Quadruple Helix

Bagi memastikan kelestarian teknologi ini berterusan, katanya pemindahan ilmu rentas generasi dilakukan melalui pendigitalan tacit knowledge (pengetahuan tersirat) milik penuak veteran ke dalam bentuk log digital, pemetaan StoryMaps dan video tutorial interaktif.

Sesungguhnya, beliau berkata momentum pemodenan emas perang Sarawak ini digerakkan secara strategik menerusi model jalinan Quadruple Helix yang kukuh, dengan melibatkan sinergi erat antara empat tonggak utama.

Pertama, pihak Universiti (UNIMAS) menerajui penyelidikan dan pembangunan (R&D) biokimia bagi mengkaji khasiat produk serta mencipta inovasi teknologi hijau termaju.

Peranan ini diperkukuh pula oleh pihak Kerajaan menerusi Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah (SNDB), yang bertanggungjawab menggubal polisi perlindungan paya, melaksanakan pewartaan kawasan sensitif, serta menyalurkan dana pembangunan yang diperlukan.

Seterusnya, pihak Industri mengambil peranan penting dalam membuka rantaian bekalan logistik, menyediakan pembungkusan bertaraf standard global dan meluaskan akses pemasaran ke peringkat antarabangsa.

Akhir sekali, komponen Komuniti (Koperasi) bertindak sebagai penggerak utama di lapangan yang bertanggungjawab menguruskan operasi harian, mengekalkan konsistensi bekalan nira, serta memastikan integriti data rantaian bekalan sentiasa terpelihara.

Kesimpulannya, melalui keberhasilan projek ini, komuniti penuak Sarawak kini bukan lagi sekadar menjadi pengeluar pemanis tradisional di pinggir sungai. 

Sebaliknya, mereka telah berevolusi menjadi wira kelestarian digital, sekali gus membuktikan kepada dunia bahawa matlamat Sarawak untuk mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030 mampu direalisasikan melalui paksi inovasi teknologi hijau yang utuh.

BERITA LAIN

Lapan pasukan buru separuh akhir

SAINGAN peringkat suku akhir Liga Lundu 2026 bakal berlangsung pada 24 dan 25 Oktober ini. Perlawanan itu menyaksikan pertembungan lapan pasukan terbaik daripada empat kumpulan

SEMAKIN DIGITAL, semakin selamatkah kita?

TEKNOLOGI digital dan kecerdasan buatan (AI) kini berkembang dengan begitu pesat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Namun, di sebalik kemudahan yang dinikmati untuk bekerja, belajar

BERITA TERBARU

Rakyat protes dasar berat sebelah

BANGKOK: Ratusan penunjuk perasaan berhimpun berhampiran Pusat Konvensyen Nasional Queen Sirikit (QSNCC) pada Khamis bagi membantah dasar Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang

Geran pemula bantu usahawan muda Sarawak

KUCHING: Usahawan belia di Sarawak berpeluang memohon geran sehingga RM15,000 menerusi Geran SYStartUP bagi membantu menampung kos permulaan dan pembangunan perniagaan masing-masing. Timbalan Menteri Belia,