KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Mampan dan Pengurusan Sisa 2025 berpotensi membuka peluang pekerjaan hijau baharu melalui pengambilan tenaga kerja terlatih dalam pusat kitar semula, fasiliti kompos, industri baik pulih dan syarikat teknologi hijau.
ADUN Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata, salah satu daripada empat tonggak utama dalam Ordinan Sumber Mampan dan Pengurusan Sisa ialah pengukuhan sistem kitar semula dan pengkomposan.
“Langkah ini meliputi pengembangan pusat kitar semula, penyediaan kemudahan kompos serta mempromosikan ekonomi kitaran yang membolehkan produk dibaik pulih, diguna semula atau diperbaharui.
“Pendekatan ini menggerakkan Sarawak ke arah masa depan yang mengekalkan kekuatan ekonomi tanpa menjejaskan alam sekitar, menjadikan sisa sebagai sumber bernilai dan kelestarian sebagai kelebihan daya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 Sarawak, hari ini.
Menurutnya, RUU tersebut turut membawa manfaat ekonomi kerana pengurangan penggunaan tapak pelupusan dan peningkatan kadar kitar semula dapat mengurangkan kos kutipan, pengangkutan dan pelupusan sisa.
“Isi rumah dan perniagaan juga mendapat manfaat apabila pengurangan sisa membawa kepada yuran pelupusan lebih rendah serta peluang baharu menjual bahan kitar semula,” jelasnya.
Dalam pada itu, tegasnya, tonggak utama ordinan merangkumi pengurangan sisa di punca melalui galakan penggunaan produk boleh guna semula, pembungkusan mesra alam serta penghapusan plastik sekali guna di premis kerajaan dan komersial.
“Pengasingan sisa secara mandatori mewajibkan isi rumah dan premis perniagaan mengasingkan bahan kitar semula, sisa organik dan sisa baki bagi meningkatkan kecekapan kitar semula serta mengurangkan jumlah sisa dihantar ke tapak pelupusan.
“Insentif juga diberikan kepada perniagaan yang mengamalkan kaedah lestari, manakala penalti dikenakan terhadap pelupusan sisa secara cuai,” jelasnya.
Sehubungan itu, katanya, tonggak tersebut membentuk penyelesaian mampan melalui ordinan yang tersusun, tadbir urus jelas, penguatkuasaan kukuh dan pelaksanaan berkesan.
Beliau menjelaskan bahawa, RUU itu turut memberi manfaat kepada alam sekitar dan kesihatan masyarakat, termasuk mengurangkan pencemaran melalui pelepasan gas rumah hijau yang lebih rendah, serta tanah dan air yang lebih bersih.
“Pada masa sama, kualiti kesihatan awam bertambah baik dengan udara yang lebih bersih, bilangan tempat pembiakan penyakit berkurangan, serta pendedahan kepada bahan toksik menurun.
“Ia turut memelihara sumber semula jadi melalui amalan kitar semula kertas yang mengurangkan penebangan pokok dan penggunaan air, manakala kompos meningkatkan kesuburan tanah pertanian,” ujarnya.
Jelasnya, ordinan tersebut juga memupuk budaya tanggungjawab bersama apabila sekolah menjalankan program alam sekitar, isi rumah mengamalkan pengasingan sisa, perniagaan berinovasi dan komuniti menjadi lebih bersih serta teratur.
“RUU ini bukan sekadar dasar, ia adalah komitmen dalam melindungi alam sekitar, merancakkan ekonomi, memperbaiki kesihatan awam dan memperkasa komuniti sebagai penjaga bumi,” tegasnya.



