DALAT: RHB Bank tampil memberi bantuan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Stadium Perpaduan Dalat hari ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, bantuan tersebut diharapkan dapat meringankan beban mangsa-mangsa banjir.
“Kita juga berharap agar air di kawasan ini surut agar PPS ini ditutup dan seterusnya semua dapat kembali ke rumah masing-masing.
“Jika balik nanti, mangsa banjir boleh mengambil pulang kelengkapan tidur masing-masing seperti tilam, bantal, tikar dan selimut,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Banjir daripada RHB Bank hari ini.

Fatimah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, turut menasihatkan mangsa banjir agar tabah dan kekal bersemangat menghadapi bencana ini.
Jelasnya, walaupun banyak kerosakan harta benda, tetapi beliau percaya bahawa bencana ini adalah dugaan dalam kehidupan.
“Namun, diingatkan bahawa kesihatan dan keselamatan semasa pascabanjir perlu diutamakan.
“Ini terutamanya bagi mengelakkan penyakit bawaan air semasa banjir,” jelasnya.
Sehubungan itu, Fatimah menegaskan bahawa pendidikan perlu diteruskan selepas banjir.
Tambahnya, pendidikan merupakan harta paling berharga bagi masa hadapan anak-anak kita.
Dalam pada itu, Fatimah turut menzahirkan penghargaan kepada penyumbang yang telah memberi sumbangan kepada mangsa banjir.



