Ringankan beban 4,000 penduduk

ASAJAYA: Sekitar 4,000 penduduk di sini menerima bantuan keperluan asas serta topeng muka.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan yang juga Adun Asajaya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia diharap dapat meringankan beban masyarakat lebih daripada 30 kampung di kawasan berkenaan.

“Bantuan berupa keperluan asas seperti beras, gula dan sebagainya untuk membantu masyarakat terutama di kampung sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang menyukarkan mereka keluar rumah mencari rezeki dan membeli barangan keperluan harian.

“Bagaimanapun, pengagihan akan dilakukan secara berperingkat-peringkat dan penduduk kampung diharap bersabar menunggu giliran masing-masing,” katanya semalam.

Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan menambah, bantuan akan disalurkan oleh Pejabat Daerah Asajaya, pasukan sukarelawan termasuk anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Rela, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan ahli-ahli Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Saya merayu kepada semua masyarakat di Asajaya agar terus mematuhi arahan PKP yang disambung sehingga 28 April ini.

Syukur setakat ini belum ada lagi kes positif Covid-19 di sini.

“Kita turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak atas peruntukan bantuan makanan yang diagihkan kepada semua rakyat, terutama di luar bandar,” ujarnya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Daerah Asajaya yang dibantu oleh ramai sukarelawan melakukan pembungkusan dan pengedaran bantuan makanan mengikut jadual.

Pengorbanan petugas barisan hadapan yang sentiasa bekerja keras membantu menangani penularan wabak Covid-19 juga dihargai.

“Kerajaan Sarawak baru-baru ini menerima dua juta topeng muka yang diagihkan kepada orang ramai terutama di kawasan zon merah.

“Ini termasuk petugas barisan hadapan seperti Rela, KRT dan APM yang turut memainkan peranan,” katanya.

Kampung di Asajaya yang menerima bantuan barangan keperluan asas serta penutup mulut ialah Asajaya Cina, Asajaya Laut, Asajaya Tengah, Asajaya Ulu, Beliong, Beliong Cina, Lubok Kura, Moyan Laut Kosong, Moyan Ledang, Moyan Ulu, Moyan/ Serpan Cina, Rebak, Sambir, Sampun Baru, Sampun Gerunggang, Sampun Jugu, Sampun Kelili, Sampun Tebun, Sebandi Matang , Sebandi Ulu, Serpan Laut, Serpan Ulu, Sri Tajo, Subi Ketup/ Sebandi, Tambirat, Tambirat/Ketup, Tanjong Apong, Teluk Sabang, Tambey, Sui, Tambey Parit Perentah dan Kuarters.

Suara Sarawak