KUCHING: Nilai keberanian, kepimpinan beretika serta empati terhadap alam sekitar diketengahkan menerusi pementasan teater muzikal kanak-kanak berbahasa Inggeris bertajuk ‘Rise of the True King Junior’.
Teater tersebut akan dipentaskan pada 17 dan 18 Januari ini di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak.
Dipersembahkan oleh Sang Rawi Sdn. Bhd., pementasan ini mengisahkan perjalanan seekor harimau albino yang dipinggirkan oleh koloninya akibat perbezaan fizikal.
Namun, watak utama itu bangkit sebagai simbol harapan apabila berani menentang pemerintahan raja harimau yang zalim demi menyelamatkan koloninya serta memulihkan keseimbangan alam.
Melalui penceritaan simbolik yang disokong elemen muzik segar dan persembahan bertenaga, ‘Rise of the True King Junior’ menyampaikan mesej tentang kepimpinan berintegriti, keberanian mempertahankan kebenaran serta kepentingan menjaga keharmonian antara manusia dengan alam sekitar.
Pementasan ini disasarkan khusus kepada kanak-kanak, namun sarat dengan pengajaran yang relevan untuk semua lapisan masyarakat.
Menurut pihak penganjur, produksi ini bukan sekadar hiburan malah berperanan sebagai platform pendidikan kreatif yang melibatkan bakat muda tempatan.
Usaha itu dilihat mampu menyemai minat terhadap seni persembahan di samping meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab memelihara biodiversiti dan hidupan liar sejak usia awal.
Sesuai ditonton oleh seisi keluarga, ‘Rise of the True King Junior’ diharap dapat meninggalkan kesan mendalam kepada penonton mengenai nilai kasih sayang, empati, keberanian serta kepimpinan berteraskan moral untuk masa depan yang lestari.
Tiket pementasan ditawarkan bermula RM15 dan boleh diperoleh secara dalam talian melalui rottkjr.youcanbook.me.
Orang ramai juga boleh mengikuti media sosial rasmi Sang Rawi untuk maklumat lanjut mengenai pementasan ini.



