BINTULU: Jumlah kes kebakaran di Sarawak masih berada pada tahap membimbangkan walaupun mencatatkan sedikit penurunan pada tahun 2025, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak, Jamri Masran.
Beliau berkata sebanyak 2,090 kes kebakaran direkodkan pada tahun 2023, meningkat kepada 2,179 kes pada tahun 2024, iaitu pertambahan sekitar 4.3 peratus sebelum menurun kepada 2,106 kes pada tahun 2025.
“Walaupun terdapat sedikit penurunan pada tahun 2025, jumlah keseluruhan kes kebakaran masih berada pada tahap yang membimbangkan dan tidak boleh dipandang remeh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Program Komuniti Prihatin, Kediaman Selamat Bersama Bomba Sarawak Tahun 2026 Peringkat Zon Bintulu yang disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr Sim Kui Hian, di sini, pada Selasa.
Menurut Jamri, trend tersebut merupakan peringatan jelas bahawa risiko kebakaran sentiasa wujud dan memerlukan penglibatan aktif semua lapisan masyarakat dalam memastikan keselamatan kediaman serta persekitaran.
Menyentuh mengenai nilai kerugian, beliau berkata anggaran kerugian akibat kebakaran pada tahun 2023 direkodkan sebanyak RM118.52 juta, manakala nilai harta benda yang berjaya diselamatkan mencecah RM838.56 juta atau 87.62 peratus.
“Pada tahun 2024, kerugian meningkat kepada RM199.10 juta dengan nilai harta yang berjaya diselamatkan sebanyak RM925.16 juta atau 82.29 peratus.
“Manakala pada tahun 2025, kerugian direkodkan sebanyak RM317.51 juta, dengan nilai harta benda yang berjaya diselamatkan RM546.01 juta atau 63.23 peratus,” katanya.
Menurut beliau, kebakaran berpunca daripada elektrik kekal sebagai penyumbang utama dengan 75 kes pada tahun 2023, 84 kes pada tahun 2024 dan 71 kes pada tahun 2025 diikuti kebakaran berpunca daripada dapur gas atau minyak.
Beliau turut menegaskan bahawa keselamatan kebakaran bukan tanggungjawab pihak bomba semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen bersama masyarakat melalui pendekatan pencegahan di peringkat akar umbi.
Sehubungan itu, Jamri berkata penubuhan Pasukan Bomba Komuniti di Sarawak menunjukkan perkembangan memberangsangkan.
48 pasukan ditubuhkan pada tahun 2023, meningkat kepada 58 pasukan pada tahun 2024, dan melonjak kepada 101 pasukan pada tahun 2025.
“Dari segi keahlian, seramai 826 orang ahli direkodkan pada tahun 2023, meningkat kepada 1,188 orang pada tahun 2024, dan 1,104 orang pada tahun 2025.
“Di daerah Bintulu sahaja, sebanyak 13 Pasukan Bomba Komuniti berjaya ditubuhkan pada tahun 2025 dengan keahlian seramai 108 orang, sekali gus mencerminkan sokongan padu masyarakat terhadap agenda keselamatan komuniti,” katanya.
Jamri turut memaklumkan JBPM Sarawak akan terus mempergiatkan pelaksanaan program kesedaran awam, termasuk program 1 Rumah 1 Alat Pemadam Api (1RAPI) serta pemasangan alat pengesan asap, bagi memastikan tindakan awal dapat diambil sekiranya berlaku kebakaran.
Pada tahun 2025, JBPM Sarawak telah melaksanakan sebanyak 5,494 program kesedaran keselamatan kebakaran di seluruh negeri melibatkan seramai 933,230 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran, malah membentuk budaya keselamatan kebakaran sebagai satu gaya hidup demi melindungi nyawa dan harta benda,” katanya lagi.



